MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh tidak memerlukan masa yang lama untuk membuktikan kemampuannya di Liga Thailand apabila dia terus meledak gol pada aksi persahabatan yang berlangsung semalam.
Dalam aksi itu, kelabnya Police Tero berjaya membenam kelab dari divisyen dua, Uthai Thani FC dengan 4-3 dan Sumareh yang baharu menyertai latihan bersama rakan sepasukan minggu lalu berjaya menjaringkan gol keempat pasukan.
Perkembangan terkini Sumareh itu dilihat memberi petanda yang dirinya sudah bersedia untuk diturunkan buat pertama kali dalam saingan utama sejak menyertai pasukan bulan lalu.
Berdasarkan jadual perlawanan liga selepas ini, Police Tero akan turun menentang Muangthong United di laman sendiri dan Sumareh mungkin diturunkan pada perlawanan yang akan berlangsung Ahad ini.
Sebelum ini, sejak tiba di Thailand pada hujung bulan lalu, tonggak sayap itu sekadar menjalani latihan sendiri di kediamannya.
Ia bagi memenuhi tempoh kuarantin selama 14 hari yang diwajibkan oleh kerajaan Thailand bagi mana-mana individu yang masuk ke negara itu untuk mengekang penularan Covid-19.
Sepanjang proses kuarantin itu, Sumareh kerap memuat naik gambar di laman Story Instagram miliknya yang menunjukkan sedang menjalani latihan ringan.
Terdahulu, bekas pemain sayap pasukan Pahang berusia 26 tahun itu melengkapkan perpindahannya untuk menyertai Liga Thailand pada 7 September lalu.
Sumareh bakal menyertai rakan sepasukan dalam skuad Malaysia, Dominic Tan yang turut bersama Police Tero sejak musim lalu dan pemain pertahanan itu juga difahamkan sudah melanjutkan kontraknya selama dua tahun lagi dengan kelab terbabit
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:36 PM
No comments:
Post a Comment