MyMetroArena
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas lapan bulan berkhidmat sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek mampu mengukir senyuman apabila ada di antara anak buahnya mempunyai perwatakan seperti Datuk Lee Chong Wei.
Paling menarik perkara itu lebih jelas kelihatan ketika pemain remaja beraksi di Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan yang berlangsung, minggu lalu.
"Saya lihat ada di antara mereka yang betul-betul sama seperti Chong Wei ketika remaja. Mereka ada kriteria yang diperlukan," katanya. Bekas jaguh perseorangan lelaki negara itu berkata, sekarang peranan jurulatih adalah sangat penting dalam merancang untuk mempercepatkan proses bagi memastikan pemain dapat menonjolkan bakat sebenar.
"Kita mahu menjadikan proses itu lebih cepat, jika pada awalnya mungkin ambil masa dua tahun. Kita mahu jadikannya mungkin dalam tempoh setahun sahaja. Jika tidak ikut modul, ia akan melambatkan proses.
"Sekarang saya belum boleh mendedahkan nama kerana masih terlalu awal. Kita tidak mahu jika sebut nama, pemain itu akan berasa selesa. Namun, apa yang saya lihat ada beberapa pemain yang betul-betul berkaliber," katanya.
Ujar beliau kemampuan pemain itu diukur menerusi cara pemain bermain dan berfikir.
"Badminton ini ada lima perkara penting iaitu fizikal, teknikal, taktikal, mental dan deria rasa. Semua elemen ini perlu ada yang mana buat masa sekarang belum ada pemain yang memenuhi semua elemen berkenaan.
"Mungkin dari segi mental dan deria rasa sudah baik tetapi dari fizikal iaitu kekuatan badan masih lemah dan taktikal masih kurang seperti bagaimana untuk memerangkap lawan," katanya.
Antara pemain yang menonjol dalam aksi perseorangan lelaki ialah Justin Hoh, Jacky Kok, Eogene Ewe Eon dan Dylan Ooi.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 5:57 PM
No comments:
Post a Comment