Oleh Syafiq Aznan - Mei 13, 2021 @ 1:37pm
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: "Kalau saya jurulatih pun, saya akan buat perkara sama."
Demikian pandangan bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan ketika diminta mengulas keputusan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang memilih 'muka sama' sekalipun pemain terbabit kurang mendapat minit dalam pasukan masing-masing dalam saingan domestik.
Justeru, Pengarah Teknikal Sarawak United itu juga mempertahankan pendekatan yang diambil Cheng Hoe sambil menegaskan pemilihan pemain itu pasti berdasarkan pemilihan dan kesesuaian untuk beraksi dalam skuad kebangsaan.
"Kalau muka baharu dipanggil tetapi mereka tidak dapat memberikan apa yang dimahukan Cheng Hoe, ini akan memberikan kesukaran kepadanya, tambahan lagi dengan waktu persiapan yang singkat.
"Aksi antarabangsa dan aksi liga adalah satu pertandingan yang berbeza. Cheng Hoe mungkin memerlukan pemain yang dia boleh percaya untuk beraksi di bawah kendaliannya.
"Cheng Hoe yang membawa pasukan, jadi sudah tentu dia lebih kenal dengan pemain dan apa yang dimahukan daripada pemain. Pemain ini pasti faham kehendak Cheng Hoe dan sudah biasa dengan aksi antarabangsa.
"Perkara ini pun pernah berlaku pada zaman 70-an dan 80-an di mana pemain simpanan bersama pasukan masing-masing pun ada yang dipanggil menjadi pemain kebangsaan," katanya.
Terdahulu, pemilihan pemain skuad kebangsaan untuk mengharungi baki Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Nama pemain khususnya seperti Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid menjadi sasaran selepas ada segelintir penyokong yang merasakan mereka tidak 'layak' dipanggil memandangkan kurang minit beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).
Susulan itu, Cheng Hoe menegaskan senarai 25 pemain itu sudah diteliti dan dipantau sepenuhnya sekali gus menjadikan ia senarai terbaik untuk dibawa ke UAE.
Malah, dia tidak mempunyai banyak masa untuk menguji pemain baharu ataupun melakukan eksperimen sekali gus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pemain yang dipanggil untuk menggalas tanggungjawab bagi misi penting itu.1
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/05/816550/cheng-hoe-tahu-apa-dia-buat
No comments:
Post a Comment