Ad

Wednesday, 12 May 2021

Tuck sedia kembali bersama TFC

Malik Muhamad

am@hmetro.com.my



Bekas pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck (kanan) sedia kembali menyarung jersi TFC jika diberi peluang. FOTO Ihsan TFC.

Kuala Terengganu: Pemain berdarah kacukan England-Malaysia, Lee Tuck sedia kembali menyarung jersi bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC) jika khidmatnya ditagih skuad Penyu itu dalam mengharungi baki saingan Liga Super selain Piala AFC dan Piala Malaysia musim ini.

Menurut bekas pemain Sri Pahang FC itu, setakat ini dia belum bersedia untuk mendedahkannya, namun tidak menolak kemungkinan akan menyarung jersi skuad itu jika mendapat peluang kedua.

Lebih menggembirakan pemain digelar 'Rooney Ganu' itu selepas namanya disebut peminat selain jurulatih, Nafuzi Zain sekali gus membayangkan untuk kembali ke pangkuan TFC selepas tiga musim bersama pasukan itu sebelum ini.

"Sudah tentu saya berminat dan bersedia menyarung jersi skuad TFC, lebih-lebih lagi selepas tiga musim bersama skuad itu sehingga mara ke pentas final Piala Malaysia pada 2018 dan membantu pasukan layak ke pentas Piala AFC musim ini.

"Lebih menggembirakan mendengar komen daripada Nafuzi yang menyatakan saya antara calon untuk memperkuatkan pasukan selain bekas rakan sepasukan, Sanjar Shaakhmedov, ini berita baik, lagipun saya gembira di sana, seperti yang saya katakan kami saling mengetahui corak permainan masing-masing, ianya begitu serasi.

"Lagipun sejujurnya ketika ini saya sedang mencari kelab untuk pinjaman sementara dan kembali ke TFC adalah satu peluang baik dan fantastik serta mengujakan, ketika ini saya sangat bermotivasi untuk kembali ke padang," katanya.

Ketika ditanya prestasi tidak menentunya bersama Sri Pahang sehingga menjadi mangsa pengguguran bersama tiga lagi tonggak import skuad Tok Gajah itu, Tuck akui belum serasi selain posisinya tidak sesuai.

"Posisi ketika bersama TFC berbeza ketika saya beraksi dengan Sri Pahang, sebelum ini sudah empat musim saya bermain di Malaysia sebagai pemain tengah, namun dengan Sri Pahang pula saya bermain sebagai penyerang kerana kami perlu membuat perubahan dalam pasukan.

"Jadi bermain bukan di posisi sebenar kadang kala tidak berjaya walaupun saya sudah mencuba yang terbaik sebagai penyerang dan laksanakan tugas untuk pasukan, malah sebagai pemain profesional, saya akan bermain di mana-mana posisi yang diminta walaupun sebagai penjaga gol kerana mahukan aksi terbaik, tapi inilah bola sepak kadang kala kita tidak mendapat keputusan yang kita mahukan."Apapun dengan perubahan yang dilakukan pasukan Sri Pahang pada jendela kedua perpindahan pemain ini, secara positifnya saya lihat semakin baik untuk bangunkan semula skuad itu, semoga terus berjaya," katanya.Disiarkan pada: Mei 12, 2021 @ 2:03pm.1

No comments:

Post a Comment