11 Jun 2015 12:56 AM
R. Sharmini beraksi dalam rutin
jumping dalam acara ekuestrian Sukan SEA 2015 di Kelab Turf Singapura semalam.
BERNAMA
SINGAPURA - Sebaik sahaja
disahkan muncul pemenang acara jumping individu, air mata kegembiraan mengalir
di wajah R. Sharmini yang akhirnya memastikan skuad ekuestrian negara pulang
dengan satu emas.
Terpaksa bertarung sehingga
persembahan penentuan dengan penunggang Singapura, Catherine Chew selepas
kedua-duanya mempamer tunggangan bersih, kekuatan mental Sharmini ternyata
menjadi pemisah antara mereka.
Mengambil giliran terlebih
dahulu melakukan tunggangan bersama kuda kesayangannya Arcado L, dia menunggang
tenang untuk tidak melakukan sebarang kesilapan selain mencatat masa 35.90
saat.
Sebaik sahaja Catherine
melintas garisan penamat, sorakan penyokong Malaysia menggamatkan suasana
apatah lagi apabila penunggang Singapura itu pula hanya mampu mencatat masa
36.69 saat.
Pingat gangsa menjadi milik
penunggang Thailand, Sailub Lertratanachai yang mengecewakan seorang lagi
penunggang tuan rumah Predrag Marjanovic dalam penentuan show off.
Ketika ditemui pihak media,
Sharmini tidak mampu menahan air mata gembiranya dan tidak percaya mampu
mengalahkan Catherine yang lebih berpengalaman.
Kejayaannya itu menamatkan
penantian Malaysia selama lapan tahun untuk meraih emas dalam acara berkenaan.
Kali terakhir Malaysia menang
pingat emas acara jumping individu ialah pada 2007 di Korat, Thailand melalui
Qabil Ambak.
“Sebenarnya saya bukanlah yang
terbaik dalam situasi jump-off, namun segala-galanya menjadi dalam akhir
perlumbaan, saya terkejut mampu memenanginya.
“Catherine sebenarnya seorang
yang berpengalaman dan rentak kudanya jauh lebih baik tetapi mungkin hari ini
ialah hari saya.
“Terima kasih kepada jurulatih
peribadi Lars Bak Andersen, ibu bapa, adik saya yang menjadi penyokong nombor
satu saya selama ini serta semua pengurusan ekuestrian,” katanya sambil
menangis.
Dalam Sukan SEA 2011 di
Indonesia, Sharmini menjadi sebahagian daripada pasukan jumping untuk meraih
pingat gangsa tetapi pada kali ini dia boleh tersenyum dengan membawa pulang
satu emas dan satu perak.
Mula berjinak-jinak dengan
dunia ekuestrian sejak berumur enam tahun dan kini berkelana di bumi Eropah bagi
mendapatkan pendedahan, Sharmini berharap satu hari nanti dia mampu melayakkan
diri ke Sukan Olimpik.
“Kelayakan untuk Sukan Olimpik
Rio mungkin sudah tertutup, saya kini meletakkan sasaran mampu beraksi di Tokyo
pada 2020 nanti,” katanya.
Secara keseluruhan, acara
ekuestrian yang menutup tirai hari ini menyaksikan skuad negara memperbaiki
pencapaian dua tahun lalu di Myanmar, tanpa mengambil kira acara endurance yang
tidak dipertandingkan kali ini.
Mereka membawa pulang satu
emas, satu perak dan satu gangsa dari Singapura berbanding hanya mendapat satu
emas di Myanmar. – UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/sharmini-pastikan-skuad-ekuestrian-pulang-dengan-emas-1.101400#sthash.n71n2rqn.dpuf
No comments:
Post a Comment