Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua keputusan
memalukan diraih Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan
Piala Asia 2019 jelas menunjukkan tiada lagi magis istimewa mampu dijelmakan
pengendalinya Dollah Salleh selaku pembimbing skuad kebangsaan.
Seri 1-1 berdepan Timor Leste
sebelum dilauk 0-6 oleh Palestin dengan kedua-dua aksi itu berlangsung di
tanahair sendiri sememangnya tidak boleh diterima semua pihak terutamanya
peminat tempatan yang kecewa dengan cara pengendali itu membimbing pasukan.
Bukannya tidak boleh menerima
kekalahan, sebaliknya biarlah tewas dengan erti kata ‘kalah bermaruah’ dengan
mempamerkan cabaran sengit kepada pasukan lawan.
Dengan pasukan lain di rantau
ini mula menunjukkan peningkatan seperti Singapura yang berjaya mengikat
gergasi Asia Jepun 0-0 disamping Filipina menang 2-0 ke atas Yaman, seharusnya
menerbitkan rasa cemburu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dilihat
makin merosot sejak kebelakangan ini.
Menurut pengkritik bola sepak
negara Serbegeth Singh (gambar), sudah tiba masanya FAM kembali serius
memikirkan hala tuju pasukan kebangsaan dengan mencari jurulatih asing yang
benar-benar berkelayakan untuk mengemudi skuad negara.
Katanya, badan induk bola sepak
tempatan itu harus mengkaji semula kedudukan Dollah yang disifatkannya gagal
membawa sebarang perubahan besar sejak dilantik musim lalu.
“Saya lihat di negara kita
punya kelompok pemain yang bagus, cumanya masalahnya jurulatih dipilih itu
kadang-kala tidak sesuai untuk menerajui pasukan yang bersaing di peringkat
tertinggi seperti antarabangsa.
“Maaf cakap, kebanyakan
jurulatih kita belum sampai ke tahap luar sebab itu jurulatih sekarang (Dollah)
gagal membimbing pasukan biarpun rekod beliau hebat dalam liga tempatan.
“FAM perlu ambil kepakaran
luar, tetapi bukannya jurulatih asing yang ada dalam liga kita sama ada Liga
Super atau Perdana. Jangan salah faham, saya maksudkan individu yang
benar-benar mempunyai catatan rekod baik di peringkat antarabangsa,” katanya
kepada Arena Metro, semalam.
Jelasnya lagi, untuk mencari
calon terbaik FAM tidak perlu mementingkan soal nama jurulatih itu seperti mana
yang berlaku sebelum ini apabila FAM dihantui kekecewaan mendapatkan bekas
jurulatih Jepun, Philippe Troussier.
“Tak semestinya orang mempunyai
nama besar dalam bola sepak dunia boleh memberi kejayaan. Apa yang penting, FAM
dapatkan khidmat jurulatih luar berpengalaman tanpa perlu berbelanja besar,”
katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 19 Jun 2015 @ 10:52 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/58727#sthash.FmDhCxv6.dpuf
No comments:
Post a Comment