Ad

Thursday, 11 June 2015

Malaysia, Timor Leste terikat 1-1


 Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI, TENGKU ASYRAF TENGKU
SALLEHUDDIN dan MUHAMMAD RIDUAN HANIFIAH
 
PENYERANG Harimau Malaya, Safee Sali memeluk rakan sepasukannya, Amri Yahyah selepas menggegar jaring gawang Timor Leste pada minit ke-33 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional malam tadi.


SKUAD Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar terikat 1-1 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Beraksi pada babak pertama perlawanan, Timor Leste tidak mengambil masa lama untuk menguji gawang skuad negara menerusi tendangan percuma, Diogo Santos Rangel seawal minit ketiga, tetapi percubaan tepat itu gagal menemui gawang Harimau Malaya.

Skuad negara yang menampilkan corak hantaran pendek mula kembali mengatur gerak untuk mencari jaringan pertama menerusi gerakan berbahaya dilakukan Amri Yahyah, namun tendangan bintang Johor DT itu sekadar terkena bahagian tepi jaring gawang Timor Leste pada minit ke-18.


SEBAHAGIAN penyokong Harimau Malaya hadir ke Stadium Nasional untuk memberi sokongan moral kepada skuad kebangsaan pada aksi menentang Timor Leste malam tadi.

Timor Leste hampir mendapat jaringan awal apabila Junior Aparecido berjaya melepasi perangkap ofsaid Harimau Malaya, tetapi malangnya perancang tersebut gagal memanfaatkan peluang yang terhidang dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat apabila tendangan lambung yang dilakukannya tersasar jauh dari gawang pada minit ke-23.

Saat yang dinantikan kira-kira 5,000 penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional akhirnya kunjung tiba apabila penyerang, Safee Sali membuka tirai jaringan pada minit ke-33.

Kejayaan itu hadir apabila bintang Harimau Selatan tersebut tidak dijaga pemain pertahanan Timor Leste dan ia sekali gus memberi peluang kepada Safee untuk mudah menolak bola masuk ke gawang hasil hantaran Joseph Kallang Tie ketika insiden kelam kabut di dalam petak penalti.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Indra Putra Mahayuddin gagal memanfaatkan peluang untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-47.

Bintang Felda United itu memiliki peluang keemasan untuk meraih gol kedua untuk Harimau Malaya hasil hantaran Kallang Tie, tetapi percubaan tepat itu berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Timor Leste, Ramos Saozinho.

Junior pula hampir mencemaskan kem negara menerusi rembatan kencang yang berjaya menewaskan Khairul Fahmi, tetapi percubaan tepat itu sekadar terkena palang Harimau Malaya pada minit ke-77.

Timor Leste akhirnya berjaya memadamkan kelebihan Harimau Malaya apabila Jairo Pinheiro Palme meledak gol penyamaan pada masa kecederaan sekali gus keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas aksi menentang Timor Leste, Harimau Malaya bakal bertemu Palestin untuk aksi kedua Kumpulan A di venue yang sama pada Selasa ini.


SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3cnTyXxx9 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment