SEBAHAGIAN pemain skuad Harimau
Malaya menjalani sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam untuk
persediaan menghadapi Timor Leste malam esok.
KAPTEN Harimau Malaya, Safiq
Rahim menyeru para penyokong membanjiri Stadium Nasional untuk memberi sokongan
moral kepada skuad kebangsaan yang akan menentang Timor Leste pada aksi pertama
kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur
malam esok.
Safiq berkata, skuad Harimau
Malaya kini sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik bagi mendapatkan
keputusan positif sebagai membalas kepercayaan serta kesetiaan para penyokong.
Pemain tengah Johor DT itu
menambah, dia serta rakan-rakannya tidak sanggup beraksi tanpa penyokong
seperti ketika perlawanan menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam pada aksi
persahabatan hujung minggu lalu.
“Tidak dinafikan, penyokong
memberi semangat dan kekuatan kepada pasukan. Saya harap penyokong dapat hadir
ke stadium pada perlawanan pertama itu untuk menaikkan semangat dan motivasi
pemain.
“Saya yakin kami ada kemampuan
untuk melakukan yang terbaik. Kita semua mahu keputusan positif. Persediaan
berjalan lancar dan kami berharap dapat pungut tiga mata menerusi perlawanan
itu.
“Kami telah mengambil
pengajaran daripada perlawanan lalu dan akan baiki kelemahan. Saya yakin kami
mampu tewaskan mereka (Timor Leste),” katanya ketika ditemui di Wisma FAM,
Kelana Jaya semalam.
Safiq turut menggesa rakan-rakan
sepasukannya supaya tidak sesekali memandang rendah terhadap keupayaan Timor
Leste meskipun Harimau Malaya akan beraksi sebagai pasukan pilihan.
“Saya masih belum pernah
melihat aksi penuh Timor Leste. Setiap pasukan mempunyai kekurangan dan kekuatan
tersendiri. Jika bermain dengan baik, kami mampu menang,” tambah Safiq.
Sementara itu, ketua jurulatih
Harimau Malaya, Dollah Salleh meluahkan kegembiraan apabila Safiq kembali
memperkuatkan posisi tengah skuad kebangsaan.
Dollah menambah, sekembalinya
Safiq diharap berupaya menambah ‘sengat’ skuad kebangsaan menjelang aksi
pertama kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 malam esok.
“Saya percaya, kemasukan semula
Safiq ke dalam pasukan akan memberi kelebihan kepada skuad negara kerana kita
semua tahu, dia mampu menghasilkan hantaran serta umpanan yang menarik kepada
penyerang untuk mencerahkan peluang menjaringkan gol.
“Safiq juga mampu beraksi di
posisi serangan dan masih memiliki ‘naluri pemusnah’ jika mendapat peluang yang
baik di hadapan gol. Dia juga seorang pemain yang sentiasa dahagakan gol,”
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz3cbmRwkVZ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment