Oleh Khairil S Iswan
mkhairil@bh.com.my SKUAD Bawah 13 Tahun (B-13) Malaysia muncul juara apabila
mengalahkan Sporting CP dari Portugal 2-1 pada final di Sepanyol. –
Foto Gambar Ihsan NFDP Malaysia
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan
pemain terbaik Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) perlu dihantar
beraksi di luar negara.
Begitupun katanya, buat masa ini masih
terlalu awal untuk mereka ini dihantar ke luar kerana perlu dididik dengan
sebaiknya dulu sehingga mencapai usia 16 atau 17 tahun. Beliau berkata demikian
sebagai mengulas kejayaan skuad bawah 13 (B-13) tahun negara yang menjuarai
Ibercup Costa del Sol di Sepanyol, baru-baru ini yang dikatakan berjaya memikat
ejen luar negara terhadap skuad bimbingan Lim Teong Kim itu.
"Saya akan merancang satu laluan
kerjaya buat pemain terbaik program PPBN ini supaya mereka dapat pengalaman
bermain di liga antarabangsa di luar negara. "Begitupun, saya rasa ketika
ini umur mereka 13 tahun terlalu awal untuk kita nak kekalkan di Akademi
Mokhtar Dahari yang dijadual dibuka pada 2017. "Apabila mereka baharu
mencecah umur 16 atau 17 tahun nanti, baharulah kita akan lihat untuk memberi
pengalaman untuk mereka dihantar ke luar negara.
"Apa yang pasti, saya tidak mahu mereka
berada di sini, yang terbaik dari PPBN perlu bermain di luar," katanya
ketika ditemui pada majlis berbuka di ibu negara malam tadi.. Menyifatkan
kejayaan yang diraih skuad B-13 negara itu sebagai kejayaan yang kecil, Khairy
berkata keberkesanan program itu hanya muncul seandainya mereka berjaya layak
beraksi di Piala Dunia B-17 dan B-19 terlebih dulu. "Ini adalah permulaan
dan jangan kita terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini. Kita bangga, namun
jalan mereka masih jauh dan tugas saya dan Teong Kim adalah untuk bimbing
mereka supaya tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang boleh
menyimpangkan fokus mereka. "Apapun, ini permulaan begitu baik. PPBN baru
setahun dilaksanakan dan ia membuahkan hasil. "Namun bagi saya dan Teong
Kim, sebenarnya keputusan itu tidak begitu penting. Apa yang penting ialah
persediaan dan pembangunan. Kita mahu corak permainan kita lebih teratur dan
kemas dan persembahan mereka dikekalkan," katanya.
No comments:
Post a Comment