Ad

Saturday 27 June 2015

Pertembungan dua gergasi


 
ZESH (kiri) akan kembali dalam kesebelasan Pahang pada aksi menentang Johor DT malam ini selepas tempoh penggantungannya berakhir.


STADIUM Darul Makmur, Kuantan akan menjadi tumpuan malam ini.

Dua pasukan teratas Liga Super, Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) akan membuat perhitungan dan pemenang perlawanan ini sudah pastinya akan memegang status selaku pendahulu carta.

Pahang yang kini berada di puncak liga dilihat memiliki kelebihan kerana mereka akan turun selaku tuan rumah dan Johor DT pula menanam tekad untuk meraih kemenangan dalam misi mereka memintas kedudukan pasukan lawan mereka itu.

Pahang kini sudah mengumpul 26 mata selepas mengharungi 12 perlawanan manakala gergasi Harimau Selatan berada di kedudukan kedua dengan 24 mata.

Menyedari perlawanan tersebut akan berlangsung sengit, kapten Johor DT, Safiq Rahim mengakui bahawa mereka bakal berdepan laluan sukar kerana Pahang bukan sebuah pasukan yang mudah untuk dijinakkan di gelanggang sendiri.

Memburukkan lagi keadaan, beberapa pemain utama Johor DT hampir pasti tidak dapat beraksi pada perlawanan getir itu gara-gara masalah kecederaan.

“Patito Rodriguez mungkin tidak dapat beraksi kerana belum pulih daripada kecederaan, namun saya berharap pemain yang akan mengisi kekosongan itu nanti mampu menampilkan permainan cemerlang.

“Saya berharap semua pemain mampu mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam misi memburu tangga teratas liga,” jelas Safiq.

Dalam pada itu, Pahang tidak akan membiarkan Johor DT pulang dengan kemenangan.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, perlawanan malam ini dijangka sengit kerana kedua-dua pasukan berhasrat untuk merebut mata penuh.

“Johor DT pastinya mengharapkan kemenangan untuk memintas Pahang, kami juga tidak akan membiarkan ia berlaku kerana kami juga memerlukan tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan di puncak liga,” jelas Zainal yang menerima khabar gembira selepas pemain pertahanannya, Zesh Rehman akan kembali berada dalam kesebelasan utama selepas tempoh penggantungannya berakhir.

Pahang juga akan turun dengan barisan terbaik malam ini kerana semua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3eGA4ZXVE Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment