SKUAD bola sepak negara melalui
pengalaman buruk pada Sukan SEA 2015 selepas tersingkir seawal peringkat
kumpulan
SINGAPURA – Tidak ada pasukan
yang mampu membawa pulang kejayaan sekiranya hanya membuat persiapan dalam
tempoh sebulan.
Mungkin itu rumusan tepat dan
paling sesuai untuk menggambarkan kegagalan skuad bola sepak negara pada Sukan
SEA kali ini yang menamatkan kempen penuh kekecewaan selepas tersingkir seawal
peringkat kumpulan.
Jurulatih skuad negara, Datuk
Ong Kim Swee sudah mengakui sejak perlawanan pertama ketika mereka hanya mampu
menewaskan Timor Leste 1-0 menjelaskan bahawa pasukannya kali ini tidak begitu
bersedia kerana kesemua pemain hanya sempat menjalani latihan pusat selama tiga
minggu sahaja.
Menurutnya, tempoh persiapan
kali ini sangat berbeza ketika beliau membawa skuad negara memenangi pingat
emas di Indonesia pada 2011 dan tempat keempat dua tahun lalu di Myanmar.
"Saya tidak mahu memberi
alasan, tetapi lihat bagaimana perancangan kita pada 2011 dan ketika ke
Myanmar. Berapa banyak perlawanan antarabangsa yang kita harungi. Kali ini kita
main dengan siapa sebelum ke Sukan SEA?
"Sudah pasti kita gagal.
Kita kena lihat semula apa yang kita lakukan sebelum ini. Saya akan sediakan
laporan mengenai prestasi pasukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM)," katanya.
Tambahnya, pemain yang hadir
menggalas misi kali ini juga dilihat tidak begitu bersedia kerana sebahagiannya
tidak mempunyai tempoh masa perlawanan yang cukup kerana sebahagian besar
daripada mereka hanya memanaskan bangku simpanan dengan pasukan kelab atau
negeri masing-masing, selain berdepan masalah kecederaan.
"Jika kita lihat Thailand,
hanya seorang dua pemain yang beraksi dalam Liga Divisyen 1 mereka manakala
yang lain bermain secara tetap dalam liga utama mereka, sama seperti pemain
Vietnam.
"Berbeza dengan pemain
kita, sebahagian besar daripada mereka hanyalah pemain simpanan selain berdepan
masalah kecederaan kecuali pemain Harimau Muda B yang beraksi dalam Liga
Singapura," ujarnya.
Skuad negara hanya berjaya
mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan ketika menewaskan Timor Leste
(1-0), Brunei (2-0) dan Laos (3-1), namun tersingkir daripada perebutan slot ke
separuh akhir selepas tewas kepada Thailand (0-1) dan Vietnam (1-5).
Empat pasukan yang layak beraksi
di separuh akhir nanti adalah Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar.
Prestasi yang dipamerkan skuad
kebangsaan kali ini benar-benar membuatkan Kim Swee kecewa apabila membayangkan
untuk meninggalkan skuad negara biarpun mengakui bahawa sebelum bermulanya misi
ke Sukan SEA kali ini beliau turut berhasrat untuk berbuat demikian.
"Daripada awal tahun lagi
saya nak keluar tapi tak dibenarkan, apabila saya tidak dibenarkan saya ambil
tanggungjawab atas apa yang berlaku di Sukan SEA. Saya tak akan lari, terpulang
kepada FAM nak buat keputusan selepas ini," jelasnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz3cvqvzTsM
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment