Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
BENG HAI (dua dari kanan)
mengingatkan para pemainnya agar waspada dengan ancaman Ireland hari ini ekoran
kejayaan lawan mereka itu mengikat gergasi Eropah, Great Britain 2-2 kelmarin.
NAMPAK gayanya misi Malaysia
untuk mengatasi Ireland pada aksi kedua peringkat Kumpulan B kempen Separuh
Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) amat sukar.
Mana tidaknya, Ireland telah
melakar kejutan terbesar apabila berjaya mengikat gergasi Eropah, Great Britain
2-2 pada aksi di Stadium KHC Dragons, Antwerp, Belgium kelmarin.
Hari ini, skuad negara akan
membuat perhitungan dengan Ireland dan sudah pastinya ia perlawanan sukar
memandangkan lawan mereka itu memiliki kelebihan tersendiri, selain semakin
bersemangat selepas berjaya mengikat Great Britain dengan keputusan seri.
Malaysia wajib menang pada
perlawanan getir ini selepas berjaya menewaskan China 3-2 pada perlawanan
pembukaan minggu lalu.
Jika berjaya meraih tiga mata,
ia akan mencerahkan peluang skuad bimbingan Tai Beng hai itu melangkah ke suku
akhir.
Tonggak pertahanan Malaysia,
Azlan Misron yang telah membuat lebih 300 penampilan bersama skuad hoki negara
berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan akan lebih berwaspada dengan kekuatan
tersembunyi Ireland dan pada masa sama kekal fokus untuk meraih tiga mata.
“Ireland seri 2-2 dengan Great
Britain, boleh dikatakan ia satu kejutan juga buat kami. Kami dapat lihat
persembahan mereka (Ireland) lebih kurang sama dengan pasukan-pasukan Eropah
lain. Gaya permainan mereka juga cukup kemas.
“Kami perlu bersiap sedia dan
kekal berdisiplin ketika menentang mereka esok (hari ini). Fokus kami pada
setiap perlawanan tetap sama iaitu mengutip tiga mata. Kami juga perlu
melakukan yang terbaik dan kurangkan melakukan kesilapan mudah,” katanya kepada
Kosmo! semalam.
Pemain berusia 32 tahun itu
yang menggalas tugas selaku kapten sebelum ia diserahkan kepada Muhammad Razie
Abd. Rahim menegaskan, The Speedy Tigers juga mempunyai kelebihan tersendiri
untuk merobek gawang Ireland pada aksi di Brasschaat malam ini.
“Kelebihan kami sudah
semestinya semangat berpasukan serta kepantasan dimiliki jentera serangan. Saya
harap permainan kami menjadi pada perlawanan itu nanti dan keputusan akan
berpihak kepada Malaysia,” jelas pemain kelahiran Perak itu.
Jurulatih Beng Hai sudah
pastinya akan mempertaruhkan dua penyerang berbisa negara, Faizal Saari dan
Muhamad Haziq Samsul, untuk merobek gawang gol Ireland seperti yang mereka
lakukan sewaktu menentang China Sabtu lalu.
Kemenangan ke atas Ireland akan
membuka peluang buat Malaysia yang bertekad untuk layak ke Sukan Olimpik di Rio
de Janeiro, Brazil tahun depan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3e5Yrq9BQ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment