Ad

Tuesday, 9 June 2015

Menimba pengalaman kompetitif

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
 
SKUAD hoki wanita kebangsaan bakal menjalani latihan di Australia sebagai persiapan menjelang Sukan SEA 2015 di Singapura pada Jun depan.

"KALAU kalah, jangan balik."

Demikian pandangan Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Profesor Dr. S. Shamala dengan nada berseloroh ketika mengulas berhubung cabaran skuad hoki wanita negara menjelang temasya Sukan SEA di Singapura, Jun depan.

The Blue Tigress dilihat berpeluang cerah untuk mempertahankan pingat emas yang diraih pada dua tahun lalu apabila hanya empat buah negara bakal mengambil bahagian pada temasya kali ini iaitu tuan rumah, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Biarpun skuad hoki wanita negara menikmati status jaguh di rantau Asia Tenggara, namun MHC enggan memandang ringan berhubung cabaran pasukan lawan terutama Thailand yang mempamerkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini.

Difahamkan, Thailand serius mengadakan kem latihan di Korea Selatan sejak awal tahun ini dalam usaha merampas pingat emas daripada Malaysia menjelang Sukan SEA di Singapura pada Jun depan.

Justeru itu, MHC mengambil langkah untuk menghantar barisan pemain hoki wanita negara menjalani latihan di Perth, Australia bagi mendapatkan lebih banyak pengalaman menerusi perlawanan kompetitif bertaraf antarabangsa.

"Kami merancang untuk menjalani latihan selama seminggu di Australia sebagai persediaan ke Sukan SEA. Kami tidak boleh ambil ringan kerana pasukan-pasukan lain juga akan berusaha keras pada temasya itu nanti. Jadi, kami juga ambil berat terhadap persiapan untuk menghadapi cabaran pasukan lain.

"Skuad hoki wanita perlu menang emas. Persediaan ini dibuat bagi memastikan kami dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA pada edisi sebelum ini," katanya Shamala ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Langkah tersebut dilihat sebagai satu usaha positif skuad hoki wanita yang selama ini terpaksa menjadikan pasukan hoki lelaki bawah 18 tahun Sekolah Sukan Bukit Jalil sebagai rakan latihan.

Akibat kekurangan persediaan terutama perlawanan persahabatan antarabangsa, The Blue Tigress mencipta sejarah hitam apabila gagal layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Belgium, Jun depan.

Ia ekoran skuad hoki wanita sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga Pusingan Kedua WHL di New Delhi, India pada bulan lalu dan sekali gus mengakibatkan mereka terlepas dua slot automatik ke Belgium.

Kem latihan di Australia pula bakal digunakan sebaik mungkin oleh barisan pemain wanita negara yang sememangnya amat memerlukan lebih banyak perlawanan kompetitif.




SUMBER-Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3ccH33jCx Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment