Ad

Wednesday, 24 June 2015

Malaysia tiada pemain berkualiti

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
DOLLAH (kanan) tidak akan berupaya mengubah bola sepak negara sekiranya liga tempatan terus gagal melahirkan pemain yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

PEMINAT bola sepak tempatan perlu memahami senario bola sepak Malaysia yang sebenar selepas menyaksikan prestasi hambar skuad Harimau Malaya dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 baru-baru ini.

Demikian tegas legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh (gambar kecil) yang mengakui bahawa Malaysia kini sudah tidak memiliki pemain berkualiti untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Menurutnya, tidak guna buat bising kerana Malaysia kini ketandusan pemain-pemain berkualiti dan ia merupakan faktor terhadap kejatuhan bola sepak negara.

Pada aksi kelayakan peringkat Kumpulan A sebelum ini, skuad Harimau Malaya bimbingan Dollah Salleh gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang Timor Leste dan tewas mengejut 0-6 kepada Palestin di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mengulas lanjut, Shukor menjelaskan bahawa tidak adil untuk meletakkan kesalahan di bahu Dollah kerana Malaysia memang tidak memiliki pemain bagi tugasan di pentas antarabangsa,

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji balik pelan pembangunan agar usaha memulihkan imej bola sepak negara dapat direalisasikan.

“Sebenarnya kita memang tidak memiliki pemain yang berkualiti. Itulah masalah yang dihadapi oleh Dollah. Jangan katakan Dollah, (bekas pengurus Manchester United) Alex Ferguson pun tidak mampu menyelamatkan bola sepak Malaysia jika keadaan seperti ini berterusan.

“Ambillah jurulatih berkelas dunia sekali pun, kita tetap tidak akan berjaya. Ini kerana tugas jurulatih adalah membentuk pasukan dan haruslah memiliki pemain-pemain berkualiti.

“Jika tiada kemampuan untuk melahirkan pemain berkualiti, Dollah tidak akan berupaya membentuk skuad yang mantap, lagipun untuk tugasan antarabangsa, Dollah menghadapi kesukaran untuk memilih pemain yang betul-betul berkualiti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan bahawa masa depan Dollah bersama skuad Harimau Malaya bakal terjawab sebaik FAM mengadakan mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 10 Julai nanti.

Dalam perkembangan sama, Shukor menyifatkan FAM seharusnya mengekalkan Dollah dan pada masa yang sama, badan induk bola sepak negara itu harus mengkaji balik aspek pembangunan sama ada apa yang dilakukan ketika ini relevan atau tidak.

“Sukar untuk saya memberikan komen mengenai keputusan sama ada mahu mengekalkan Dollah atau sebaliknya. FAM adalah majikan Dollah dan kita sekadar melihat dari luar sahaja.

“Apa yang saya boleh komen ialah tentang senario bola sepak kita sekarang. Jika sekadar memiliki dua pemain berkualiti tinggi seperti Safiq Rahim mahu pun Amri Yahyah, susahlah buat mana-mana jurulatih untuk membentuk skuad yang mantap,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3dyAMKsgX Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment