SELASA, 30 JUN 2015 @ 11:12 AM
JARINGAN Eduardo Vargas
membantu Chile menundukkan Peru, 2-1. - Foto AFP SANTIAGO: Dua jaringan Eduardo
Vargas membantu Chile menundukkan Peru, 2-1, untuk layak ke final Copa America
di sini, sekali gus kian hampir mencapai impian menjuarai kejuaraan Amerika
Selatan itu. Vargas, yang melalui musim suram secara pinjaman bersama bekas
pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers, meledak gol
kemenangan pada minit ke-64 bagi membawa negaranya layak ke final kejohanan
buat pertama kali sejak 1987.
Dia sebelum itu, meletakkan Chile di depan
pada minit ke-42 menerusi rembatan kencang kontroversi berikutan penolong
pengadil gagal mengesan kedudukan ofsaid pemain itu. Peru yang bermain dengan
10 pemain hampir sepanjang aksi selepas Carlos Zambrano dibuang padang
gara-gara membuat terjahan keras ke atas Charles Aranguiz pada minit ke-20,
kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Gary Medel pada minit ke-60.
Namun, Vargas yang sebelum itu turut
kecewa selepas jaringannya dibatalkan gara-gara ofsaid pada awal babak kedua,
kembali mengukuhkan kedudukan Chile menerusi gol yang dianggap terbaik setakat
ini sepanjang temasya empat minit kemudian. Pemain berusia 25 tahun itu berjaya
mendapat bola dari kawasan tengah, sebelum melakukan sepakan tinggi yang
kemudian menerjah ke sudut gawang, cukup untuk menewaskan penjaga Peru, Pedro
Gallese. Chile bakal bertemu antara pemenang antara Argentina-Paraguay dalam
satu lagi aksi separuh akhir awal pagi esok. - AFP
SUMBER :
http://www.bharian.com.my/node/64549
No comments:
Post a Comment