Ad

Friday 26 June 2015

Malaysia akhirnya terkulai

Beri tentangan hebat sebelum tewas 2-0, tiket suku akhir tidak terjejas
27 Jun 2015 2:35 AM 
KUALA LUMPUR - Rekod bersih Malaysia dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia akhirnya lebur apabila tumpas 2-0 kepada pasukan tuan rumah, Belgium dalam perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium KHC Dragon, Antwerp, semalam.
Kekalahan itu turut menyaksikan Belgium memintas Malaysia untuk muncul pendahulu baharu kumpulan dengan tujuh mata, satu mata mengatasi The Speedy Tigers.
Pasukan negara masih mampu mengekalkan kedudukan dua terbaik seandainya berjaya melakar kejutan ke atas pasukan No. 5 du­nia, Great Britain dalam perlawanan terakhir Kumpulan B esok.
Biarpun gagal melakar kemenangan ketiga berturut-turut, namun anak-anak buah Tai Beng Hai memberi tentangan sengit kepada pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong mereka sebelum terpaksa akur menerusi dua gol padang lawan.
Selepas saling berbalas sera­ngan dalam 30 minit pertama permainan, Belgium akhirnya membolosi gawang Malaysia pada minit ke-38 menerusi Dorian Thierry, yang menerima hantaran Amaury Keusters sebelum menewaskan Roslan Jamaluddin.
Aksi pantas tuan rumah sekali lagi memerangkap pertahanan Malaysia selepas giliran Simon Gougnard mengukuhkan kedudukan 2-0 selang seminit kemudian, juga menerusi gol padang.
Anak-anak buah Beng Hai tidak berputus asa, malah cuba melakukan beberapa gerakan bahaya di hadapan gawang lawan, namun percubaan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abd. Jalil berjaya ditepis penjaga gol Belgium.
Kedua-dua pasukan dilihat saling menyerang antara satu sama lain pada suku keempat, namun tiada sebarang gol berjaya dihasilkan dan keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup.
Kekalahan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Malaysia di suku akhir kerana tiket mereka sudah terjamin selepas menewaskan China 3-2 dalam aksi pembukaan, diikuti Ireland 4-2 pada perlawanan kedua kelmarin.
Belgium yang berada di kedudukan keempat terbaik dunia bukanlah lawan seimbang buat Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dunia.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/hoki/malaysia-akhirnya-terkulai-1.107683#sthash.tJhiOobC.dpuf

No comments:

Post a Comment