10 Jun 2015 1:59 AM
KUALA LUMPUR – Pengendali
Harimau Malaya, Dollah Salleh lega kerana dia dapat menggunakan kembali khidmat
pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Safiq Rahim apabila skuadnya
memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia menentang Timor Leste di
Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
Safiq terlepas perlawanan
pemanas badan menentang Hong Kong pada minggu lalu kerana menerima kad kuning
ketika bertemu Oman dalam perlawanan persahabatan pada 26 Mac lalu.
Kehadiran semula Safiq ke dalam
kem latihan nyata melegakan Dollah yang memerlukan pemain yang bijak
melorongkan bola kepada jentera serangan malah antara pakar sepakan bebas
terbaik di rantau ini.
“Tidak dapat dinafikan dia
(Safiq) kerap membantu jentera serangan skuad kita, malah pada masa sama dia
juga berkebolehan bertindak sebagai penyerang. Jadi kehadiran pemain yang
memiliki kaliber seperti dia amatlah diharapkan.
“Dalam setiap perlawanan saya
lihat dia (Safiq) begitu bersemangat untuk mencari gol. Saya percaya dengan
kemasukan Safiq mampu menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukannya dan saya percaya
dia membuatkan pasukan menjadi lebih mantap,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Dollah turut
menjelaskan kecederaan yang dialami oleh penjaga gol Mohd. Farizal Marlias
(lutut) serta pemain tengah Junior Eldstal (koyak tendon) kian pulih dan mereka
berkemungkinan beraksi pada malam esok.
“Kalau nak diikutkan kecederaan
Junior tidak begitu serius, dia boleh main cuma setiap kali selepas beraksi dia
akan rasa sakit. Dia ada memberitahu saya bahawa dia tidak sabar untuk beraksi
menentang Timor Leste dan semangat seperti ini yang saya mahukan.
“Farizal pula, semasa latihan
saya lihat tiada masalah cuma dia berasa sakit setiap kali dia merebahkan
badan. Tetapi ahli fisioterapi pasukan memberitahu buat masa sekarang dia tiada
masalah,” katanya lagi.
Dollah turut memberitahu dia
kini sedang menggandakan usahanya mencari kombinasi terbaik dalam membentuk
kesebelasan utama menjelang perlawanan esok.
“Ini merupakan fasa terakhir
kepada persiapan kami, jadi saya lebih tumpukan kepada latihan kesebelasan utama
dan saya lihat banyak peningkatan yang dilakukan oleh pemain. Sekarang ini saya
cuma perlu memastikan keserasian dalam kesebelasan utama dapat dibentuk dengan
baik,” katanya lagi.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kehadiran-safiq-buat-dollah-lega-1.101066#sthash.h3H7KUvT.dpuf
No comments:
Post a Comment