Malaysia raih 7 emas menerusi
terjun, wusyu, renang, snuker, petanque
09 Jun 2015 1:13 AM
Chuan Leong Thor
SINGAPURA - Wusyu akhirnya
menggegarkan Singapura, manakala terjun terus menjadi lubuk emas Malaysia pada
hari ketiga Sukan SEA 2015 yang menyaksikan kontinjen negara melakar keputusan
paling cemerlang dengan merangkul tujuh emas keseluruhan.
Petanque, renang dan snuker
turut menjadi penyumbang emas Malaysia semalam, sekali gus menyaksikan
kontinjen negara memperbaiki kedudukan pingat keseluruhan daripada tangga
kelima ke tangga keempat dengan mengumpul 15 emas, 19 perak dan 23 gangsa.
Selepas berdepan risiko pulang
tangan kosong, skuad wusyu akhirnya menutup kempen dengan merangkul dua emas
menerusi Loh Jack Chang dalam acara wajib taijiquan lelaki serta trio Chan
Audrey Yee Jo, Chan Lu Yi dan Cheah Aggie Ruey Shin dalam duilian barehand
berpasukan wanita.
Wusyu sememangnya sering
menjadi sandaran emas Malaysia, malah mereka melakar pencapaian yang lebih baik
di Myanmar, dua tahun lalu apabila meraih tiga emas, lima perak dan enam
gangsa.
Sementara itu, terjun terus
menjadi lubuk emas Malaysia dengan meraih enam daripada lapan emas yang
ditawarkan di Singapura.
Dua lagi emas berjaya ditokok
semalam menerusi juara Sukan Komanwel, Ooi Tze Liang dalam 10 meter platform
lelaki dan gandingan 3m papan anjal seirama wanita, Wendy Ng-Nur Dhabitah
Sabri.
Di Arena OCBC, Thor Chuan Leong
terpaksa bertarung hampir tiga jam sebelum menghadiahkan emas dalam snuker
individu lelaki dengan menewaskan jaguh Myanmar, Htet Ko 4-2.
Memulakan saingan pada pukul 7
malam, Chuan Leong bagaimanapun menamatkan permainan ketika jam dinding
menunjukkan 15 minit lagi hendak memasuki pukul 10 malam.
“Saya tidak sangka akan
menerima tekanan seperti ini, saya perlu bermain dengan perlahan untuk menyekat
tempo permainan lawan,” kata Chuan Leong.
Selain menjadi lubuk emas
Malaysia dalam acara terjun, Pusat Akuatik OCBC turut membawa tuah kepada
perenang remaja berusia 17 tahun, Phee Jing En apabila meraih emas pertamanya
dalam Sukan SEA menerusi 100 meter kuak dada wanita.
Jing En turut mencatat masa
peribadi terbaik, 1 minit 10.47 saat untuk mengejutkan rakan senegara yang juga
juara bertahan, Christina Loh. Christina beraksi buruk apabila menduduki tempat
kelima.
“Sasaran saya hari ini hanya
cuba melakukan yang terbaik. Sebaik saja melihat papan markah memang rasa
terkejut.
“Saya sebenarnya bersemangat
hendak mengekalkan gelaran ini kerana kita adalah penyandang juara(Christina),”
katanya.
Gelanggang petanque turut
memahat sejarah apabila Muhd. Hafizuddin Mat Daud muncul atlet Malaysia pertama
meraih emas acara tersebut selepas menjuarai saingan perseorangan lelaki.
Hari ini, buruan emas Malaysia
akan diteruskan dengan terjun menawarkan dua emas terakhir dalam 3m papan anjal
lelaki dan 10m platform individu wanita, yang menampilkan pemenang pingat gangsa
Sukan Olimpik, Pandelela Rinong.
Turut menjadi tumpuan pastinya
olahraga, di mana Malaysia memasang misi merampas kembali gelaran Raja Pecut
dalam 100m lelaki.
Boling, gimnastik artistik,
pelayaran dan menembak turut menawarkan emas yang mampu diraih atlet negara.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/hari-paling-cemerlang-1.100705#sthash.7eh4la8H.dpuf
No comments:
Post a Comment