Beri aksi terbaik, cuba pahat
sejarah – Gomez
FADHILUL IZMEL ISHAK | 31
Oktober 2015 12:33 AM
Mario Gomez
KUALA LUMPUR - JOHOR Darul
Ta’zim (JDT) mampu memahat sejarah bola sepak tanah air, namun dengan syarat
mereka harus tenang dan memberikan aksi terbaik apabila berdepan Istiklol FC
dalam final Piala AFC hari ini, tegas Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Mario
Gomez.
Pengendali kelahiran Argentina
itu mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak memberi tekanan kepada diri
sendiri, fokus kepada perlawanan dan usah menjadikan faktor beraksi di tempat
lawan di Dushanbe, Tajikistan sebagai satu masalah.
Sebaliknya mereka harus yakin
bahawa trofi mampu dibawa pulang jika aksi terbaik mampu dipertontonkan.
Gomez juga percaya, 15 minit
pertama permainan adalah tempoh yang penting untuk menguji tumpuan pemain dan
mereka tidak boleh melakukan kesilapan awal atau bakal dihambat tekanan
sepanjang saingan.
“Mereka (lawan) mahukan gol,
sebab itu pemain perlu memberi tumpuan, terutama dalam 15 minit pertama. 15
minit pertama setiap permainan adalah sangat penting lebih-lebih lagi dalam
aksi akhir.
“Kita ada 90 minit untuk menang
tidak termasuk masa tambahan, jadi gunakan ia sebaiknya dan jangan terlalu
gopoh,” katanya.
Dalam pada itu, Gomez tidak
dapat memberi kata putus sama ada dapat menurunkan penyerang import, Luciano Figueroa
dalam kesebelasan utama kerana dia masih dibelenggu kecederaan hamstring.
Bagaimanapun penyerang
kelahiran Argentina itu akan disenaraikan di bangku simpanan.
Skuad Harimau Selatan sebelum
itu sudahpun kehilangan Mohd. Fadhli Shas, Junior Eldstal dan Asraruddin Putra
Omar akibat kecederaan.
Kekosongan tersebut bakal diisi
oleh Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Marcos Antonio.
JDT mencipta sejarah menjadi
kelab Asia Tenggara pertama layak ke final Piala AFC sejak kejohanan
diperkenalkan pada 2004.
Harimau Selatan dan FC Istiklol
layak setelah lawan mereka, Qadsia SC (penyandang juara) dan Kuwait SC
dibatalkan penyertaan ekoran penggantungan Persatuan Bola sepak Kuwait (KFA)
oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sementara itu, kapten Harimau
Selatan, Mohd. Safiq Rahim percaya, sekali pun Figueroa tidak dapat diturunkan
dalam kesebelasan utama, namun pemain tempatan mampu mengisi kekosongannya.
“Kita satu pasukan besar, jadi
sesiapa pun yang akan beraksi tidak menjadi masalah. Saya percaya rakan-rakan
mampu memberikan aksi terbaik dan membantu kami memenangi perlawanan.
“Ini adalah satu pengalaman
yang tidak boleh dibeli sebab kita (JDT) berada di tahap terbaik tahun ini,”
katanya.
Semangat pemain JDT untuk
memahat sejarah juga semakin berkobar apabila Sultan Johor Sultan Ibrahim
Sultan Iskandar berkenan berangkat ke Dushanbe bagi memberikan sokongan kepada
mereka bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga
Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ayuh-luaskan-kuasamu-jdt-1.152414#sthash.HyB1w5uF.dpuf
No comments:
Post a Comment