Ad

Sunday 4 October 2015

Sekolah tutup akibat jerebu tidak perlu ganti: Mahadzir

AHAD, 4 OKTOBER 2015 @ 5:53 PM

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Iqmal Haqim Rosman KUALA LUMPUR: Sekolah yang ditutup akibat berdepan masalah jerebu, tidak perlu menggantikan sesi persekolahan mereka, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata, keputusan itu diambil supaya tidak membebankan pihak pengurusan sekolah. "Bagaimanapun semua guru yang terbabit perlu mempercepatkan dan menggunakan budi bicara masing-masing bagi memastikan pengajaran serta pembelajaran di sekolah dapat diselesaikan dalam tempoh sesi persekolahan 2015," katanya.

 Mahdzir turut memaklumkan peperiksaan awam akan tetap diteruskan mengikut jadual sekiranya keadaan jerebu masih berpanjangan. Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan bermula 12 hingga 15 Oktober ini manakala Sijil Pelajaran Malaysia (2 November hingga 8 Disember), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia dari 19 hingga 27 Oktober.

 "Peperiksaan adalah aktiviti yang berlaku di dalam bangunan dan tidak dianggap sebagai aktiviti luar. "Justeru, peperiksaan akan diteruskan walaupun sekolah ditutup setelah bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) mencapai lebih daripda 200," katanya. Mahdzir berkata, penangguhan peperiksaan awam adalah pilihan terakhir sekiranya bacaan IPU mencapai 500 iaitu tahap berbahaya kepada kesihatan dan darurat diisytiharkan oleh kerajaan.

Katanya, Kementerian Pendidikan menutup sebanyak 4,561 buah sekolah dari sembilan negeri membabitkan 2,617,432 murid kerana bacaan IPU mencecah bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat sejak 15 hingga 30 September lalu. Beliau berkata, sembilan negeri yang terbabit itu ialah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrjaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Sarawak dan Perak. "Kementerian akan terus memantau keadaan jerebu dan tidak berkomproni dengan mana-mana perkara yang boleh memudaratkan kesihatan murid-murid," katanya. -- BERNAMA


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/86431

No comments:

Post a Comment