Oleh WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
PEMAIN Johor DT (jersi
merah/biru) akan bertandang ke Dushanbe, Tajikistan untuk menentang FC Istiklol
pada aksi final Piala AFC hujung bulan ini.
SKUAD Johor Darul Takzim (Johor
DT) melakar sejarah bola sepak negara apabila layak ke pentas final Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA) menggantung Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) semalam.
Keputusan itu menyebabkan
pasukan dari Kuwait tidak dibenarkan beraksi di pentas antarabangsa termasuk
juara bertahan Piala AFC, Qadsia SC yang akan menentang Johor DT pada separuh
akhir kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru Selasa
ini.
Selain itu, sebuah lagi kelab
dari negara itu, Kuwait SC tidak dapat meneruskan cabaran pada separuh akhir
kedua Piala AFC apabila dijadual menentang kelab dari Tajikstan, FC Istiklol di
Dushanbe Rabu ini.
Menerusi satu kenyataan yang
dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers, Presiden Persatuan Bola
Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim menyatakan bahawa perlawanan
tersebut dibatalkan ekoran kemelut yang sedang melanda KFA.
“Pasukan-pasukan daripada
negara tersebut telah dihalang oleh FIFA daripada terlibat dalam mana-mana
kejohanan antarabangsa.
“Justeru, Johor DT diberikan
kemenangan oleh AFC dan akan terus ke perlawanan akhir Piala AFC 2015 bertemu
FC Istiklol dan tarikh perlawanan tersebut dijadualkan pada 31 Oktober ini,”
ujarnya menerusi kenyataan tersebut.
Ia bukan sahaja detik manis
buat Johor DT bahkan skuad Harimau Selatan juga berjaya memahat nama mereka
selaku pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke pentas final kejohanan
berprestij tersebut.
“Peluang ini dianggap rezeki
buat pasukan dan penyokong Harimau Selatan untuk bersama-sama menyaksikan Johor
DT melakar satu lagi lembaran baharu dalam titian perjalanan mereka di bawah
naungan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” jelasnya.
Sementara itu, menerusi satu
kenyataan media yang dikeluarkan di laman web rasmi FIFA, pergantungan kelab
dari Kuwait itu berkuat kuasa serta merta hasil keputusan Jawatankuasa
Eksekutif FIFA semasa mesyuaratnya pada 24 dan 25 September lalu yang memberi
tempoh sehingga 15 Oktober lalu untuk meminta perubahan dilakukan ke atas
undang-undang sukan di Kuwait.
Penggantungan itu akan hanya
ditarik balik apabila KFA dan ahli-ahlinya (kelab) dapat menjalankan aktiviti
dan tanggungjawab mereka secara bebas.
Satu kenyataan media yang dikeluarkan
oleh AFC semalam juga mengesahkan bahawa pentas final Piala AFC kini hanya akan
menyaksikan pertembungan di antara Johor DT dan FC Istiklol dari Tajikistan dan
ia dijangka berlangsung di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober ini.
Johor DT sebelum ini tewas 1-3
kepada Qadsia SC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Kuwait SC, Kuwait
pada 29 September lalu, manakala Kuwait SC mendahului FC Istiklol 4-0 di
gelanggang sama, sehari kemudian.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3otI8ezZZ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment