Ad

Monday 5 October 2015

Peluru di dada Yuet Leng sehingga nafas terakhir

04 Oktober 2015 1:12 AM
Rahim Noor
Rahim Noor
KUALA LUMPUR 3 Okt. – Sebutir peluru yang bersarang berhampiran jantung menjadi bukti komitmen tinggi Tan Sri Yuen Yuet Leng terhadap perjuangan menamatkan pemberontakan komunis sepanjang 34 tahun perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai pegawai Cawangan Khas mengalami kecederaan di bahagian belakang tubuhnya serta kaki dan dada akibat ditembak dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Grik, Perak sekitar 1950-an.
Peluru tersebut hanya dikesan beberapa tahun kemudian dan kekal dalam tubuh mendiang sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6 pagi Khamis lalu.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menyifatkan Yuet Leng sebagai seorang legenda dalam Cawangan Khas dan PDRM.
“Mendiang sangat cekap dari segi mengumpul maklumat risikan tentang pergerakan dan tindakan komunis sehingga mengakibatkan beliau dibenci serta dimasukkan dalam senarai pegawai-pegawai Cawangan Khas yang ingin dibunuh oleh komunis.
“Atas sebab itulah mendiang ditukarkan ke Sarawak untuk menjauhkannya daripada ancaman terhadap nyawanya,” jelasnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Yuet Leng yang menyertai PDRM pada 1950 pernah berkhidmat di Seremban, Chemor, Gerik, Sungai Siput, Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).
Mendiang dilantik sebagai Ketua Polis Perak pada 1975 dan enam tahun kemudian, beliau menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak sebelum bersara pada 1984.
Walaupun Abdul Rahim yang juga bekas Pengarah Cawangan Khas tidak berkesempatan bertugas di bawah Yuet Leng, mereka pernah bertemu dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Hat Yai yang membawa kepada peletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditandatangani pada 2 Disember 1989.
“Pada majlis makan malam di Hotel Le Garden, saya dan Yuet Leng bertemu mendiang Chin Peng dan daripada cara bekas Setiausaha Agung PKM itu bercakap, saya tahu beliau kenal siapa Yuet Leng,” jelasnya.
Yuet Leng turut meluangkan masa berbual dengan Abdul Rahim sehingga larut malam dan sepanjang perbualan itu, mendiang menyatakan kegembiraannya dengan kejayaan Rundingan Damai Hat Yai.
Menurut Abdul Rahim, walaupun Yuet Leng tidak terlibat dengan Rundingan Damai Hat Yai, mendiang yakin kejayaan itu membantu negara dari segi integrasi nasional.
Beliau memberitahu, mendiang berpandangan, kejayaan tersebut merupakan kesinambungan Rundingan Baling pada 1955 yang mana Yuet Leng baru berkhidmat dengan Cawangan Khas pada masa itu terlibat dalam persediaan bagi menjayakan peristiwa bersejarah itu.
“Saya pernah terbaca dalam rekod PDRM yang mana Yuet Leng pernah bertemu dengan Chin Peng untuk mencadangkan rundingan berkenaan,” katanya.
Malah, beliau menyifatkan kesediaan Yuet Leng hadir untuk meraikan kejayaan rundingan damai itu menunjukkan komitmen mendiang terhadap usaha menamatkan pemberontakan komunis walaupun selepas bersara.
“Yuet Leng melihat jalan penyelesaian terhadap masalah komunis di negara kita bukan bergantung kepada pendekatan ‘satu peluru satu musuh’ sahaja.
“Mendiang juga percaya pemberontakan komunis boleh ditamatkan secara rundingan,” ujarnya.
Abdul Rahim menambah, Yuet Leng bukan sekadar menyumbang kepada penyelesaian masalah komunis malah kecekapan mendiang dalam risikan telah berjaya membantu melenyapkan pandangan serong terhadap kaum Cina.
“Itulah kelebihan yang dimiliki mendiang sebagai seorang pegawai Cawangan Khas dan bagi saya, komitmen Yuet Leng wajar dicontohi seluruh warga PDRM,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/peluru-di-dada-yuet-leng-sehingga-nafas-terakhir-1.142561#sthash.evm8PXwf.dpuf

No comments:

Post a Comment