Ad

Saturday, 10 October 2015

Risau pemain harungi perjalanan 21 jam

Oleh Azlan Muhammad Zain-azlanmz@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Perjalanan panjang sehingga 21 jam mencetuskan kerisauan pengendali sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee dalam misi mengutip tiga mata menentang Timor Leste.

Skuad negara memulakan perjalanan dari Bangkok, Thailand petang semalam sebelum memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada sebelah malam disusuli ke Darwin dan tiba di Dili pagi ini.
“Perjalanan hari ini (semalam) cukup panjang dengan tempoh transit dan sebagainya.
“Saya khuatir mereka akan keletihan, bukan saja kerana perlawanan semalam (kelmarin menentang Laos) namun perjalanan jauh. Penting bagi pemain mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan latihan esok (hari ini),” kata Kim Swee.
Kunjungan Harimau Malaya ke Dili dengan motivasi tinggi selepas melakar kemenangan pertama pada tahun ini dengan menewaskan Laos 3-1 kelmarin.
Skuad negara disertai kapten Pahang Razman Roslan yang dipanggil menggantikan Mohd Fadhli Shas yang cedera buku lali.
“Saya sudah bersedia menggalas bersama skuad negara. Malah kesakitan belakang yang dialami sudah pulih sepenuhnya.
“Pastinya motivasi kami amat tinggi dengan kejayaan menewaskan Laos. Kami tidak boleh tewas di Dili pada Selasa ini, misi sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata namun kami akan berusaha melakar kemenangan,” kata Razman.
Menurut pertahanan Pahang berkenaan, Timor Leste sudah pasti bukan lawan yang mudah kerana mempunyai ramai pemain naturalisasi.
Seperti Malaysia, lawan turut berada pada tahap terbaik apabila mengikat Palestin 1-1 kelmarin dalam aksi Kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
Malaysia terikat 1-1 ketika bertemu Timor Leste pada Jun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:13 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/83973#sthash.3uxJ6TnQ.dpuf

No comments:

Post a Comment