Ad

Tuesday, 20 October 2015

Lantik Kim Swee sebagai jurulatih

SUFIAN HADI SOJAK  |  20 Oktober 2015 12:04 A
KUALA LUMPUR – “Kalau kita guna jurulatih terbaik dari luar negara untuk membimbing Harimau Malaya sekali pun, tetapi tidak memantapkan pemain-pemain kita dari peringkat akar umbi, kita tetap takkan kemana-mana.”

Khalid Ali
Itu kata legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang menyifatkan adalah sia-sia sekiranya Persa­tuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan jurulatih luar negara berban­ding sentuhan anak tempatan bagi mengendalikan pasukan kebangsaan.
Jelasnya, dengan memantapkan program dari peringkat akar umbi akan menghasilkan produk yang lebih berkualiti daripada menggunakan khidmat jurulatih luar negara.
“Sepatutnya yang kita perlu bagi perhatian serius adalah program itu sebab kita memang ke­tandusan pemain.
“Adakah pemain sekarang ini de­ngan jurulatih luar negara akan menaikkan imej negara? Pada saya tidak.
“Saya ingin nasihatkan FAM dan persatuan negeri atau kelab serta Sekolah Sukan Bukit Jalil agar memantau dan memantapkan program dari peringkat akar umbi.
“Sebab lagi lima atau 10 tahun baharu kita dapat lahirkan pemain bertaraf Asia.
“Kita bukan bercakap pasal Pia­la AFF atau Sukan SEA, saya rasa ia tidak memberi apa-apa erti pun sebab kita boleh dikatakan kuat dalam dua kejohanan itu.
“Apa yang kita nak tengok adalah Harimau Malaya di Piala Asia dan Sukan Olimpik mahu pun Piala Dunia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Larian Malaysia Unity 2015 di Bukit Jalil, di sini, semalam.
Kerusi jurulatih skuad kebangsaan kosong setelahDollah Salleh meletak jawatannya pada 4 September selepas diaibkan dengan kekalahan memalukan 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bulan lalu.
Kekosongan itu buat masa ini disandang sementara Datuk Ong Kim Swee yang telah mencatat kemenangan pertama tahun ini selepas menum­paskan Laos 3-1 dalam aksi persahabatan di Bangkok dua minggu lalu.
Malaysia kemudian menumpaskan Timor Leste 1-0 dalam perlawanan dwikelayakan 13 September lepas.
Sementara itu, nada sama turut diluahkan seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh yang menyifatkan adalah satu pembaziran jika FAM menggunakan khidmat jurulatih luar negara.
Katanya, FAM sewajarnya mempertimbangkan jawatan tersebut kepada Kim Swee berdasarkan dua keputusan perlawanan ter­akhir yang dicatatkan oleh Harimau Malaya.
“Kalau FAM nak pilih, pilih orang tempatan, buat apa bawa jurulatih luar negara? Sebab ­akhirnya kita yang terpaksa membayar gaji terlampau tinggi kepada mereka.
“FAM nak jurulatih baharu? Kim Swee ada. Dia dah buat yang terbaik. Bagi dia peluang buat yang terbaik untuk Harimau Malaya meneruskan momentum kemenangan,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/lantik-kim-swee-sebagai-jurulatih-1.148331#sthash.9UeGIozd.dpuf

No comments:

Post a Comment