18 Oktober 2015 3:59 PM
ALOR SETAR 18 Okt. - Istana
terbiar berusia lebih 100 tahun di Bukit Tinggi, Kepala Batas bukan Istana Raja
Bersiong sebagaimana diperkatakan orang ramai, kata Pengerusi Persatuan Sejarah
Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof.
Sebaliknya, kata beliau, istana
tersebut adalah kepunyaan Tunku Dhiauddin ibni Sultan Zainal Rashid atau lebih
dikenali sebagai Tunku Kudin, Raja Muda Kedah ketika pemerintahan abangnya,
Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879.
"Istana itu bukan sama
sekali milik Raja Bersiong. Raja Bersiong tak wujud dalam pemerintahan raja
Kedah, ia hanyalah satu episod dalam Hikayat Merong Mahawangsa," katanya
kepada Bernama baru-baru ini.
Istana tersebut, katanya,
dibina Tunku Kudin selepas dia dipecat abangnya kerana campur tangan dalam hal
ehwal negeri Selangor dalam Perang Saudara Selangor pada 1867.
Istana dua tingkat itu, kata
Wan Shamsuddin, dibina menggunakan telur putih dan manisan lebah, dipercayai
bagi menguatkan struktur dan binaannya, manakala untuk menghidupkan keseluruhan
lampu di istana mengambil masa setengah jam.
Menurutnya, banyak
tempat-tempat lama di Kedah dianggap mempunyai kaitan dengan Raja Bersiong
termasuk kubur Raja Bersiong di Kuala Muda, tiang bendera Raja Bersiong di
Tikam Batu serta keris di Kampung Kota Bukit, Jeneri, namun kesahihannya
diragui.
Tinjauan Bernama mendapati,
istana yang terletak di jalan utama berdekatan Taman Tabung Haji, Kepala Batas
itu kini terbiar dengan semak samun, malah turut diletakkan sebuah tong sampah
besar di hadapan tinggalan bersejarah tersebut.
Seorang penduduk, K.Jagesan,
60, berkata, beberapa individu mengunjungi tempat itu dan meminta untuk
mendapatkan satu blok bata istana tersebut, namun dia menolak kerana tidak
berani berbuat demikian.
Wan Shamsudin berharap,
tinggalan bersejarah tersebut patut dibangunkan dan dipulihara kerajaan negeri,
memandangkan ia merupakan tinggalan lama yang berpotensi dijadikan tarikan
pelancong.
Menurutnya, jika istana itu
dibangunkan dan dipulihara, ia mampu menjadi satu nilai tambah sempena kempen
'Discover Kedah 2016' yang akan datang, seterusnya menarik kedatangan pelancong
dalam dan luar.- BERNAMA
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/persatuan-sejarah-nafi-istana-di-bukit-tinggi-milik-8216-raja-bersiong-8217-1.147727#sthash.FP5Ngadr.dpuf
No comments:
Post a Comment