01 Oktober 2015 1:24 AM
Pemain-pemain Qadsia meraikan
jaringan mereka sementara pemain JDT, Gary Steven Robbat (kanan) tertunduk
kecewa dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFC di Kuwait City semalam.
- AFC
KUALA LUMPUR – Johor Darul
Ta’zim (JDT) menghadapi laluan sukar untuk ke perlawanan akhir Piala AFC
selepas tumpas 3-1 kepada Al-Qadsia SC semalam, namun jaringan Amri Yahyah
sekurang-kurangnya masih memberikan nafas kepada Harimau Selatan.
Jaringan Amri dalam perlawanan
di Stadium Kelab Sukan Kuwait, Kuwait City semalam juga setidak-tidaknya
membuatkan JDT masih bersemangat untuk mengharungi perlawanan kedua di tempat
sendiri, apatah lagi mereka belum pernah tewas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos
dalam semua pertandingan musim ini.
Gol tunggal JDT itu pasti mahu
dijadikan penyuntik semangat oleh Mario Gomez dan anak-anak buahnya bagi
menghadapi separuh akhir kedua pada 20 Oktober ini.
Bagi pengendali JDT itu, beliau
menyifatkan bekalan satu gol itu amat penting kepada pasukannya dan mengakui
andai tiada gol dibawa pulang dari Kuwait, keadaan akan menjadi lebih sukar
untuk skuadnya.
“Jika perlawanan berakhir dengan
kemenangan 3-0 untuk Qadsia, pasti menjadi lebih sukar namun gol yang kami
jaringkan akan memberi kami peluang. Secara jujurnya, mungkin lebih baik jika
keputusannya 2-1, namun amat sukar dan keputusan itu (semalam) amat penting.
“Dalam perlawanan kedua, kami
perlu menjaringkan dua gol namun kami juga akan berharap kepada (sokongan)
penyokong untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya, yang dipetik
daripada lawan web Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
JDT memiliki rekod yang baik di
laman sendiri dalam kempen Piala AFC musim ini dengan menang empat kali dan
seri sekali. Satu-satunya keputusan seri yang dicatat adalah ketika bertemu
kelab Hong Kong, South China yang berakhir dengan 1-1.
Dalam perlawanan semalam,
pertahanan skuad Harimau Selatan menjalankan tugas dengan disiplin untuk
menghalang pemain Qadsia daripada membolosi kawalan. Namun kekentalan benteng
JDT akhirnya roboh pada minit ke-33 menerusi jaringan Doris Fuakuputu dan Bader
Al Motawaa menambah derita pelawat apabila menyempurnakan sepakan penalti pada
minit ke-42 untuk meletakan pasukan itu mendahului 2-0 pada babak pertama.
Seydouba Soumah kemudian
menambah gol ketiga pada minit ke-58 sebelum Amri berjaya membantu JDT membawa
bekalan satu gol ke Larkin menerusi jaringan pada minit ke-82.
Sementara itu, jurulatih
Qadsia, Rashed Al Bedaih juga sedikit berang apabila mengakui gol Amri telah
merencatkan perancangan pasukan bimbingannya.
“Menang dengan keputusan
seperti itu di laman sendiri adalah bagus sekali pun kami sebenarnya berusaha
mengelak untuk melepaskan gol. Kami mengawal perlawanan dan menjaringkan tiga
gol namun kami melepaskan gol daripada satu-satunya peluang mereka.
“Keputusan secara umumnya bagus
namun kami tidak sepatutnya tidur dan masih ada perlawanan yang perlu diharungi
di Malaysia,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment