Oleh IZWAN MOHD. ISA
Foto FARIZ RUSADIO
DA’I Hamidah (tengah) bergambar
bersama Da’i Fuad dan Da’i Hidayu selepas dinobatkan sebagai juara program Da’i
musim ketiga baru-baru ini.
SELEPAS sembilan minggu
bersiaran, program realiti Da’i Pendakwah Milenia menobatkan Da’i Hamidah
sebagai juara baharu rancangan tersebut.
Hamidah atau nama lengkapnya,
Hamidah Ab. Razak, 23, berkata, dia tidak menjangkakan kemenangannya pada malam
itu memandangkan dua lagi finalis, Da’i Fuad dan Da’i Hidayu turut menampilkan
persembahan yang hebat.
“Sejujurnya, saya langsung
tidak menjangka kemenangan ini. Tambahan pula, Fuad dan Hidayu mempunyai
kekuatan dan keunikan penyampaian tazkirah yang tersendiri.
“Bagaimanapun, saya berasa
sungguh bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah,” katanya ketika
ditemui pada sidang akhbar selepas tamat program tersebut di Sri Pentas 2,
Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Berkongsi mengenai perjalanannya
dalam rancangan tersebut, Hamidah berkata, cabaran terbesar yang terpaksa
dilalui adalah berjauhan dengan ayahnya yang sedang sakit di kampung.
“Persembahan saya agak hambar
sejak dua minggu lalu kerana risau dengan keadaan ayah yang kurang sihat.
“Namun, apabila mendapat tahu
dia sudah kembali pulih, semangat saya datang kembali. Alhamdulillah,
kemenangan ini juga boleh dianggap sebagai hadiah untuk kedua ibu bapa saya,”
ujar anak jati kelahiran Kedah itu.
Hamidah menambah, penyertaannya
dalam program berbentuk keagamaan itu dianggap sebagai pengalaman paling
berharga dalam hidupnya.
“Saya menyertai Da’i bukan
sebab mahu bersaing apatah lagi merebut gelaran juara. Namun, saya mahu
berkongsi ilmu dan dalam masa yang sama belajar tentang perkara-perkara
baharu,” tutur Hamidah.
Ditanya mengenai perancangan
masa hadapannya, Hamidah bakal kembali menyambung pelajarannya yang tertangguh
di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda
Aqidah bagi tahun kedua.
“Selepas ini, saya kembali ke
kampus dan menyambung kembali pengajian yang tertangguh.
“Dalam masa yang sama, saya
juga akan pertimbangkan jika menerima tawaran untuk mengadakan ceramah,”
katanya lagi.
Hasil kemenangannya, Hamidah
membawa pulang wang tunai RM50,000 tajaan TV3, pakej umrah, kembara ilmu ke
Istanbul, Turki dan Ho Chi Minh, Vietnam, komputer riba, langganan Majalah-i
selama setahun dan menjadi kolumnis selama enam bulan dan senaskhah al-Quran
Amazing.
Selain itu, Hamidah turut
dipilih sebagai Da’i Pilihan D’Herbs dengan membawa pulang trofi dan iPad.
Dua lagi peserta yang berjaya
ke peringkat akhir iaitu Da’i Fuad dan Da’i Hidayu terpaksa berpuas hati dengan
hadiah sagu hati wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan.
Pada malam tersebut, penilaian
peserta dilakukan dua juri tetap iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz
Syarhan Safie manakala Ustaz Badli Shah Alaudin selaku juri jemputan.
Sementara itu, juri awam
terdiri daripada barisan artis dan personaliti seperti Erra Fazira, Datin Umie
Aida, Memey Suhaiza, Aida Gadis Melayu, Da’i Adibah, Norman Hakim, Syafiq Kyle,
Saiful Nizam dan Da’i Farhan.
Diacarakan oleh pelakon Datuk
Rosyam Nor, sistem penjurian Da’i masih mengekalkan konsep sama iaitu 70
peratus daripada juri profesional, 20 peratus daripada juri awam dan 10 peratus
lagi daripada undian penonton.
Artikel Penuh: SUMBERhttp://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz3pD4GZJkj
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment