Oleh NOR AFIQAH dan AIMUNI TUAN
LAH
Norieen (berbaju merah) dan
Miksudiar yang berwajah cengkung ketika ditemui semalam selepas 47 hari hilang
di hutan Gua Musang.
GUA MUSANG – Kurus kering
sehingga nampak tulang, tidak bermaya, kelaparan dan ketakutan.
Itulah keadaan Mirsudiar Alui,
11, dan Norieen Yaakob, 10, dua daripada tujuh kanak-kanak Sekolah Kebangsaan
(SK) Tohoi yang ditemui bersembunyi di dalam akar sebatang pokok di tebing
Sungai Perias, kira-kira tiga kilometer dari sekolah berkenaan di sini
semalam.
Kedua-dua kanak-kanak itu yang
lengkap berpakaian dijumpai oleh seorang anggota polis bersama dua penduduk
kampung ketika sedang mengadakan operasi mencari dengan menaiki bot di sungai
tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Pada masa sama, pasukan mencari
turut menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang kemudian disahkan
sebagai Ika Ayel, 9, di lokasi berhampiran Mirsudiar dan Norieen dijumpai.
Lebih memilukan, mayat tersebut
difahamkan telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk
Mazlan Lazim berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang bersembunyi di dalam
akar pokok tersebut sedang menangis teresak-esak dan cuba melarikan diri.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak
perempuan itu pula ditemui bersebelahan dengan lokasi penemuan kedua-dua murid
terbabit.
Katanya, mayat kanak-kanak
perempuan itu masih dalam keadaan sempurna dan pihaknya percaya mangsa
meninggal dunia beberapa hari lalu dan dijaga oleh dua kanak-kanak tersebut.
“Kedua-dua kanak-kanak ini
dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan
rawatan rapi dan proses pemulihan.
“Pihak hospital di sini akan
melakukan bedah siasat terhadap mayat Ika sebelum diserahkan kepada pihak
keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang semalam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1010&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3oAp9FM8v
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment