Pertubuhan Komanwel dibentuk pada tahun 1931(melalui Statute of Westminster) dan anggotanya terdiri daripada bekas tanah jajahan British yang telah merdeka. Pada akhir tahun 1950-an, kebanyakan bekas tanah jajahan di Afrika, Asia, Carribbean dan Pasifik yang mencapai kemerdekaan memilih untuk menyertai Komanwel. Mereka dibenarkan memilih jenis kerajaan sama ada berbentuk republik, monarki, atau menerima monarki British.
Pertubuhan Komanwel begitu sinonim dengan United Kingdom.United Kingdom boleh dianggap sebagai "Pengasas" dan "ketua" Komanwel. Jika United Kingdom tidak bijak menjaga dan mengawal negara-negara bekas tanah jajahannya, sudah tentu hubungan United Kingdom dan tanah jajahannya akan lenyap begitu sahaja. Sememangnya pernah ada empayar lain seperti Belanda, Perancis, dan Portugal tetapi menjadi lemah dan terus lenyap. Hanya empayar British yang berjaya mewujudkan sebuah pertubuhan yang disertai oleh negara-negara bekas tanah jajahannya yang dahulu pernahditakluki tetapi sekarang mempunyai status yang sama dengan Britain.
Komanwel bukanlah diwujudkan secara mendadak kerana pertubuhan ini berkembang dari empayar British, kemudian diberi nama Komanwel British dan sekarang diberi nama Komanwel. Kewujudan Komanwel mempunyai kaitan dengan niat dan cita-cita United Kingdom untuk membimbing tanah jajahannya ke arah berkerajaan sendiri seterusnya memberi kemerdekaan. Kebijaksanaan Pejabat Tanah Jajahan menguruskan bekas negara-negara yang dijajah mempunyai mekanisme tersendiri. Bekas tanah jajahan British tidak dipaksa untuk menyertai Komanwel dan ahli-ahlinya adalah bebas untuk menarik diri pada bila-bila masa. Myanmar meninggalkan Komanwel pada tahun 1948 dan Republik Ireland meninggalkan pertubuhan ini pada tahun 1949'
Keanggotaan dalam Komanwel bukan secara automatik, ertinya bekas-bekas tanah jajahan British tidak semestinya diterima terus menjadi anggota setelah mencapai kemerdekaan. Sesebuah negara perlu memohon untuk menjadi ahli. Selain daripada itu, negara-negara anggota perlu menerima Queen sebagai simbol perpaduan dan Ketua Komanwel. Syarat seterusnya ialah negara-negara anggota yang berhasrat untuk menukarkan status monarki menjadi republik, maka negara tersebut mestilah memaklumkan kepada negara-negara anggota yang lain.
Negara-negara anggota juga disyaratkan supaya bersedia untuk bekerjasama dengan ahli-ahli demi kepentingan bersama. Semasa Persidangan Perhubungan Komanwel di Lahore, Pakistan pada tahun 1954, dua syarat lagi dicadangkan, iaitu mempunyai sistem parlimen dan berkemampuan untuk mentadbir negara. Satu lagi keunikan Komanwel ialah kebijaksanaan United Kingdom mengekalkan legasi monarkinya menjadi ketua negara dalam kalangan negara-negara Komanwel yang merdeka. Lebih kurang 16 buah negara anggota Komanwel memilih untuk mengakui Queen (Raja Inggeris) sebagai ketua negara. Di setiap negara tersebut, diwakili oleh Gabenor Jeneral. Di sesetengah negara, Gabenor Jeneral terdiri daripada anak tempatan.
No comments:
Post a Comment