Ad

Wednesday 30 September 2015

JDT berdepan laluan sukar ke final

RABU, 30 SEPTEMBER 2015 @ 9:56 AM

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan laluan sukar layak ke final Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 selepas tumpas 1-3 kepada Al-Qadsia SC dari Kuwait pada aksi separuh akhir pertama, awal pagi tadi waktu Malaysia. 

Juara bertahan itu mendahului juara Liga Super itu, 2-0 di separuh masa pertama pada saingan berlangsung di Stadium Kelab Sukan Kuwait. Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu pada 20 Oktober ini.

Pada perlawanan disiarkan secara langsung itu, Qadsia membuka tirai jaringan pada minit ke-31 menerusi Fuakuputu Doris Salomo yang menanduk masuk bola hasil sepakan sudut rakan sepasukan. Pasukan tuan rumah menggandakan kedudukan pada minit ke-42 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Bader Al Almotawaa selepas beliau dijatuhkan oleh pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak.
 
PEMAIN JDT, Safee Sali (dua dari kiri) diasak oleh pemain Al-Qadsia SC pada aksi separuh akhir pertama Piala AFC di Stadium Kelab Sukan Kuwait, awal pagi tadi. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers Bersambung separuh masa kedua, Qadsia meneruskan asakan ke kubu JDT dan mereka berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57 menerusi percubaan luar kotak penalti pemain import dari Guinea, Seydouba Soumah. Skuad Harimau Selatan berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-82 menerusi pemain gantian, Mohd Amri Yahyah yang memanfaatkan hantaran daripada Leandro Velazquez. Keputusan 3-1 itu kekal sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil, Ko Hyung Jin dari Korea Selatan.

PEMAIN QADSIA SC: Ahmed Alfadhli, Dhary Saeed, Khaled Ebrahim Hajiah, Rashid Sumaila, Sultan Alenezi, Fahed Al Ebrahim, Bader Al Almotawaa (kapten), Seydouba Soumah, Abdulaziz Alenezi (Ahmad Aldhefiri), Faisal Abdullah, Fuakuputu Doris Salomo (Ahmad J A H Zanki).

JDT: Izham Tarmizi Roslan, Marcos Antonio, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunalan, Muhammad Fazly Mazlan, Safiq Rahim (kapten), Gary Steven Robbat (Mohd Amri Yahyah), Hariss Harun (Amirulhadi Zainal), Mahalli Jasuli, Leandro Velazquez, Safee Sali. Pengadil: Ko Hyung Jin (Korea Selatan) - BERNAMA

No comments:

Post a Comment