Ad

Friday 18 September 2015

Helang Merah kenduri gol


 
PEMAIN Kedah, Chidi Edeh (tengah) melepasi kawalan dua pemain Terengganu, Vincent Bikana (kiri) dan Ahmad Nordin pada aksi Kumpulan A dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

KEDAH membuktikan mereka antara pasukan yang wajar digeruni dalam kempen Piala Malaysia 2015 apabila mudah menjinakkan Terengganu 5-0, pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Kejayaan Kedah meraih tiga mata di laman keramat mereka disaksikan lebih 20,000 penyokong setia Helang Merah setelah mereka terikat 1-1 pada aksi pertama menentang Lions XII di Jalan Besar, Singapura minggu lalu

Pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva muncul wira Helang Merah apabila meledak hatrik (m-50, m-62, m-81), manakala Chidi Edeh dan Mohd. Alif Fadzil turut mencatat nama sebagai penjaring apabila menghasilkan gol pada minit ke-62 dan ke-86.

Pada perlawanan itu juga menyaksikan Terengganu terpaksa bermain dengan sembilan pemain selepas pengadil perlawanan Muhd. Nazmi Nasaruddin melayangkan dua kad merah kepada Muhd Hafizal Mohamad dan Nurshahrul Idlan Talaha pada minit ke-24 dan ke-75 kerana mengasari pemain tuan rumah.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan sekadar berkongsi satu mata selepas diikat Felda United 1-1.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati menyaksikan tiada gerakan menarik dihasilkan sehinggalah percubaan bahaya oleh pemain pelawat Indra Putra Mahyudin pada minit ketujuh, namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang terbaik Kelantan untuk meme­cah kebuntuan gol hadir pada minit ke-33 menerusi pemain gantian, Erwin Carillo tetapi sepakannya berjaya diselamatkan oleh Mohd. Farizal Harun.

Para pemain tuan rumah terus mengasak kubu pelawat dan akhirnya berjaya memperoleh gol menerusi Gilmar Jose Da Silva Filho pada minit ke-48.

Jaringan penyamaan yang ditunggu pelawat akhirnya kunjung tiba pada minit ke-63 menerusi Syamin Yahya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3m8aaiGW6 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment