KANE meraikan kejayaan meledak
gol ketiga untuk Spurs yang turut menjadi jaringan pertamanya pada musim ini
semasa aksi menewaskan City 4-1 malam tadi.
LONDON – Skuad pendahulu
saingan Liga Perdana England musim ini, Manchester City dipaksa menanggung
derita selepas ditewaskan Tottenham Hotspur (Spurs) 4-1 di White Hart Lane
malam tadi.
Dalam perlawanan aksi ketujuh
liga itu, penyerang utama skuad tuan rumah, Harry Kane turut menamatkan kemarau
prestasi apabila berjaya meledak gol ketiga Spurs pada minit ke-61 yang menjadi
jaringan pertamanya pada musim ini.
Sebelum Kane meledak gol ketiga
untuk membolehkan Spurs terus bangkit mendahului perlawanan, Eric Dier terlebih
dahulu menggegarkan jaring gawang City menjelang tamat aksi babak pertama bagi
mengikat jaringan Kevin De Bruyne yang disempurnakan pada minit ke-25.
Bagaimanapun, gol pengikat
kedudukan yang disudahkan Dier mencetus kontroversi hangat apabila Kyle Walker
dilihat berada dalam situasi ofsaid meskipun ia tidak dibatalkan pengadil.
Sesudah Dier berjaya mengikat
kedudukan menerusi jaringan kontroversi pada hujung babak pertama, episod
sengsara dialami City bertukar sedikit parah apabila Toby Alderweireld
menyumbat gol kedua untuk Spurs pada minit ke-50.
Pengendali City, Manuel
Pellegrini yang kelihatan tertekan sekali lagi dikejutkan dengan gol ketiga
Spurs yang disudahkan Kane sebelum Eric Lamela menggenapkan kesengsaraan The
Citizens menerusi jaringan keempat skuad tuan rumah pada minit ke-79.
Sehubungan kejayaan malam tadi,
Spurs yang dibimbing Mauricio Pochettino kini mengumpul 12 mata dengan rekod
sembilan gol selepas mencatat tiga kemenangan, tiga seri dan satu tewas.
City mencatat kekalahan kedua
selepas tamat aksi malam tadi. – AGENSI
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz3mtF8oZ6U
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment