Berikut butiran sidang media
praperlawanan yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, tengah hari tadi.
Ia menjelang perlawanan keempat Kumpulan A,
Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Malaysia lawan Arab Saudi di
Stadium Shah Alam, 8.45 malam esok (Selasa, 8 September 2015).
Hadir pada sidang media berkenaan ialah
pengendali sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan kapten skuad
Harimau Malaya, Safiq Rahim serta ketua jurulatih Arab Saudi, Bert van Marwijk
dan ketua pasukannya, Osama Hawsawi.
Malaysia kini di tangga ke-169 dunia manakala
Arab Saudi di tangga ke-93 dunia.
KOMEN JURULATIH SEMENTARA
MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE
"Kita tahu Arab Saudi
antara gergasi Timur Tengah. Jadi kami perlu buat kerja rumah dan benar-benar
berdisiplin.
"Memang tak dinafikan mereka dilatih
individu yang pernah membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010. Sudah tentu
beliau lebih hebat dari segi taktikal tetapi itu tidak bermakna kita tidak
mampu menyaingi Arab Saudi.
"Saya yakin pemain akan meningkatkan
prestasi mereka. Selepas tiga hari pulang dari Abu Dhabi, saya nampak mereka
lebih tajam dan saya dapat rasakan apa dalam fikiran pemain ketika ini. Harap
mereka dapat lakukan yang lebih baik esok.
"Kami tak perlu fikir lagi perlawanan
yang lepas. Pemain perlu pandang ke hadapan. Esok kita tunjukkan karakter
sebenar dan kami perlu menang.
"Saya harap pemain dapat bangkit dan buat
penyokong semua, kami memerlukan peluang kedua. Kami perlukan sokongan anda.
Saya yakin jika penyokong hadir memberikan sokongan malam esok, pemain mampu
beraksi lebih baik.
"Ada baiknya kami ada peluang dalam
tempoh empat hari, biarpun singkat untuk membuktikan semula apa yang berlaku
tempoh hari hanyalah mimpi ngeri dan kita boleh mencatat sejarah lebih baik,
malam esok."
KOMEN KETUA PASUKAN MALAYSIA,
SAFIQ RAHIM
"Sebagai pemain kami perlu
menghadapi situasi ketika ini dan perlu meneruskan perjuangan biarpun apa yang
berlaku. Jadi kami tak boleh toleh ke belakang lagi dan perlu memandang ke
hadapan dengan mengharapkan keputusan positif pada baki perlawanan selepas ini.
"Lagipun kami akan beraksi di tempat
sendiri, jadi ia pasti memberikan motivasi terbaik kepada pasukan."
KOMEN JURULATIH ARAB SAUDI,
BERT VAN MARWIJK
"Kami datang ke sini untuk
turun beraksi perlawanan yang cukup penting, malam esok. Kami cuba untuk
melakukan persiapan sebaik mungkin, sebab itulah kami tiba di sini Jumaat lalu
selepas aksi bertemu Timor Leste.
"Mungkin semua menganggap ia akan menjadi
satu perlawanan yang mudah buat kami kerana Malaysia tewas 10-0 kepada UAE dan
jurulatih mereka (Dollah Salleh) sudah meletak jawatan, tapi saya tak rasa
begitu.
"Ia tetap bukan satu tugas mudah.
Malaysia pasti akan menjadi lawan yang cukup berbahaya. Jadi kami perlu beri
lebih fokus dan tidak memandang rendah kemampuan mereka.
"Kami tidak memikirkan berapa jumlah
jaringan. Kami akan cuba untuk memenangi perlawanan ini terlebih dahulu, itu
yang lebih penting."
KOMEN KETUA PASUKAN ARAB SAUDI,
OSAMA HAWSAWI
"Sama seperti yang
dikatakan jurulatih, kami tetap perlu menghormati pasukan lawan, tidak kiralah
mereka tewas pada perlawanan sebelum ini.
"Kami hadir ke sini hanya untuk
mempamerkan persembahan terbaik. Kami akan menghadapi Malaysia, sama seperti
lawan yang lain."
SUMBER- http://www.fam.org.my/
No comments:
Post a Comment