YATIMIN ABDULLAH | 23
September 2015 12:32 AM
KESUNGGUHAN The Red Warriors
untuk mencatat keputusan baik dalam Piala Malaysia menyebabkan mereka
menggandakan latihan pada musim perayaan.
KOTA BHARU – Ketika umat Islam
sibuk membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidiladha esok, The Red Warriors
sebaliknya mengerah keringat di atas padang untuk mempersiapkan diri menghadapi
T-Team dalam perlawanan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.
Walaupun Hari Raya Aidiladha
disambut besar-besaran oleh rakyat Kelantan, namun pengendali The Red
Warriors, Zahasmi Ismail berkata, pasukannya terpaksa melipat gandakan latihan
untuk memastikan tiga mata penuh mampu dikutip hujung minggu ini, sekali gus
mencerahkan peluang ke suku akhir.
Katanya, pemain Kelantan
dikerah menjalani latihan sebelah pagi dan petang hari ini, sebelum diberi cuti
sehari pada hari perayaan dan kembali ke latihan keesokan hari.
“Pemain menjalani latihan dua
kali sehari sejak Ahad lalu kerana kami kesuntukan masa memandangkan
perlawanan menentang T-Team jatuh pada Hari Raya ketiga.
“Tapi saya tidak mahu merungut
kerana semua pasukan mengalami situasi sama seperti Kelantan dan saya fikir ini
bukan satu masalah biarpun kami hanya mempunyai masa singkat untuk membuat
persiapan,” katanya kepada Utusan Malaysia disini semalam.
Selepas mengharungi dua
perlawanan, Kelantan berkongsi empat mata bersama Felda United hasil satu
kemenangan dan satu seri, diikuti rapat oleh juara 32 kali, Selangor yang
mengumpul tiga mata.
Zahasmi, bekas pemain Kelantan
musim 2004 berkata, dia memanfaatkan latihan singkat dengan memperbaiki segala
kelemahan dalam pasukan selepas mencatatkan seri 1-1 dengan Felda United di
laman sendiri, Sabtu lalu.
Katanya, perancangan Kelantan
terencat apabila Austin Amutu dan Jonathan McKain mengalami kecederaan.
"Amutu sudah dua hari
tidak turun berlatih, namun saya berharap McKain segera pulih menjelang
pertemuan Sabtu ini,” ujarnya.
Katanya lagi, berdepan T-Team
nanti pasukannya akan meneruskan misi memburu mata penuh biarpun sedar bakal
berdepan ujian getir.
Kelantan perlu menewaskan
T-Team dan Selangor selepas ini jika mahu melangkah ke suku akhir.
"Kami tidak akan memandang
rendah T-Team, memang pasukan itu kalah dua kali tetapi tidak mustahil boleh
bangkit lebih-lebih lagi mereka beraksi di tempat sendiri,” katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kelantan-8216-korban-8217-cuti-hari-raya-demi-piala-malaysia-1.139173#sthash.Q01p8MOD.dpuf
No comments:
Post a Comment