Ad

Friday, 11 September 2015

Safee Sali bantu Johor DT belasah Perak 2-0

Oleh SHARKAWI LONDING

CHANTURU (kiri) menjaringkan gol kedua Johor DT pada aksi menentang Perak pada perlawanan pembuka tirai kempen Piala Malaysia 2015 di Larkin malam tadi yang berkesudahan Harimau Selatan menang 2-0.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) memulakan kempen Piala Malaysia 2015 dengan rentak bergaya apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas Perak pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Kedua-dua gol Johor DT dihasilkan pada separuh masa pertama menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-18 dan M. Chanturu pada minit ke-21.

Pada awal perlawanan semalam, kedua-dua pasukan dilihat tampil dengan aksi berhati-hati dan semua pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas berehat hampir dua bulan.

Namun memasuki minit ke-17, Safee muncul sebagai wira apabila mencipta gol pembukaan perlawanan menerusi tandukan kemas hasil hantaran lintang S. Chanturu.

Keghairahan anak-anak buah Mario Gomez untk mencari gol terus terserlah setelah pemain sayap kanan, S. Chanturu sekali lagi bertindak cemerlang menghasilkan gol kedua Johor DT pada minit-21 menerusi tandukan hasil lambungan Mahalli Jasuli dari sebelah kiri.

Tersentak dengan dua jaringan itu, skuad Perak cuba bangkit dengan melancarkan serangan balas, namun usaha mereka menemui kebuntuan.

Peluang terbaik pasukan pelawat hadir pada minit ke-28 menerusi percubaan Bobby Gonzales, tetapi rembatannya terkeluar daripada sasaran.

Keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat masa pertama perlawanan.

Memasuki babak kedua, Perak dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dan rentak serangan mereka juga nampak lebih terancang, tetapi tindakan penyudah yang lemah menafikan hasrat mereka untuk menghasilkan jaringan.

Pemain import, Charles Souza Chad hampir menggembirakan skuad pelawat apabila berpeluang mencipta gol pada minit ke-57) namun sepakannya terkena tiang gol.

Dalam masa yang sama, Johor DT terus memperhebatkan taktik serangan dengan memasukkan penyerang import, Luciano Figuera bagi menggantikan Mohd. Amri Yahyah tetapi perubahan tersebut tidak membantu Johor DT untuk menambah jaringan.

Pada minit ke-89 Perak terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd. Hisyamudin Mohd. Shaari diarah keluar padang selepas menerima dua kad kuning.

Keputusan 2-0 itu kekal sehingga masa penuh perlawanan tamat.

Kemenangan tersebut membolehkan Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh, sekali gus mengungguli kedudukan Kumpulan B.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0912&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3lTWYcLix Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment