Oleh Syah Rul
Aswari Abdullah-srul@hmetro.com.my
Kuantan: Harapan Pahang untuk
menjadi pasukan kedua negara mara ke pentas separuh akhir Piala AFC, lebur
apabila tewas kepada Istiklol FC, menerusi agregat 3-5,
walaupun menang 3 -1 dalam aksi
suku akhir kedua Piala AFC di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Pada aksi suku akhir pertama di
Stadium Republican Central, Dushanbe, pada 26 Ogos lalu, Istiklol membenam
Pahang 4-0.
Bermain di gelanggang sendiri,
skuad Tok Gajah bermula garang apabila beberapa kali membuat percubaan ke
gawang Istiklol namun sepakan Hafiz Kamal pada minit ke-2 sekadar terkena
palang.
Tuan rumah sekali lagi mencuba,
tetapi Matias Conti gagal menyempurnakan hantaran Dickson Nwakaeme dari luar
kotak penalti pada minit ke-9.
Hafiz bagaimanapun menebus
kekecewaan itu dengan menjaringkan gol pembukaan Pahang pada minit ke-30
selepas menyempurnakan hantaran R Surendren.
Bersambung babak kedua, Tok
Gajah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Saiful Nizam
Miswan dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan, dua minit sebelum
separuh masa pertama berakhir.
Tuan rumah menjarakkan
kedudukan apabila Hafiz meledak gol kedua Pahang pada minit ke-58, namun
kegembiraan itu tidak bertahan lama selepas Makhmudov Khursed menjaringkan gol
pertama Istiklol, dua minit kemudian.
Wakil Malaysia yang mengharap
keajaiban menambah jaringan menerusi pemain gantian D Saarvindran pada masa
tambahan tetapi terpaksa berpuas hati dengan kedudukan itu yang kekal sehingga
wisel penamat.
Semalam, Johor Darul Ta'zim
(Johor DT) mencipta sejarah apabila menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang
layak ke pusingan separuh akhir piala berprestij itu apabila menewaskan kelab
Hong Kong, South China dengan agregat 4-2.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 16 September 2015 @ 11:09 PM
Conti diasak pemain Istiklol FC
dalam perlawanan suku akhir kedua Piala AFC 2015 di Stadium Darul Makmur. FOTO
Luqman Hakim Zubir
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/78033#sthash.PW87TvN3.dpuf
No comments:
Post a Comment