Dollah tidak patut
dipersalahkan sepenuhnya
06 September 2015 12:41 AM
Kelana Jaya 5 September 2015 -
Penjaga Gol Harimau Malaya, Khairul Fahmy Che Mat diberi peluang mengendali
gawang Harimau Malaya semasa Sesi latihan Skuad Harimau Malaya yang
dikendalikan oleh Jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee di Wisma FAM , di sini
hari ini. Gambar : MOHD AZIM ABD RAHMAN / PEMBERITA : ZAZALI (SUKAN UTUSAN)
& FAZLI (SUKAN KOSMO)
Oleh ZAZALI JAMIANsukan@utusan.com.my
PETALING JAYA
Penjaga gol skuad Harimau
Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang melepaskan empat gol ketika Malaysia dibelasah
10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Khamis lalu mengakui, dia dan
rakan-rakan sepasukan memang berhak dikritik ekoran kekalahan memalukan itu.
Katanya, kekalahan di Abu Dhabi
dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pasti meninggalkan kesan
mendalam terhadap setiap pemain Harimau Malaya, namun mereka tidak boleh terus
meratapinya kerana pasukan masih mempunyai banyak tugas penting untuk digalas,
terutama menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
Menurut penjaga gol Kelantan
itu lagi, walaupun dibelasah kiri dan kanan oleh pelbagai pihak, namun dia dan
rakan-rakan sepasukan perlu bangkit memperkuatkan mental serta fizikal untuk
menghadapi perlawanan seterusnya.
“Kami sudah biasa menerima
kritikan dan perlu terima semuanya kerana semua yang berlaku berpunca daripada
persembahan teruk kami dalam perlawanan itu.
“Saya juga mengakui, prestasi
kami ketika beraksi dalam saingan liga tempatan amat bagus tetapi tidak begitu
baik apabila bersama pasukan kebangsaan, sekali gus membuatkan kami tekad untuk
tidak mahu terus memalukan nama Malaysia.
“Selepas apa yang berlaku ini
semua perlu bersedia, selain harus serius untuk memastikan kami dapat
menghadapi perlawanan seterusnya dengan baik,” katanya pada sesi latihan
pertama bersama jurulatih sementara yang baharu dilantik, Datuk Ong Kim Swee di
Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sini, semalam.
Dalam perlawanan Khamis lalu,
pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh terpaksa membuat tiga pertukaran
penjaga gol selepas Khairul Fahmi melepaskan empat gol dalam tempoh 25 minit,
manakala penjaga gol gantian, Zamir Selamat membenarkan gawang pasukan dibolosi
tiga kali.
Mohd. Khairul Azhan Khalid
kemudian dimasukkan pada minit ke-60 akibat kecederaan yang dialami Zamir,
namun ‘tembok’ kukuh skuad Pahang itu masih tidak mampu menghalang gawang
Harimau Malaya daripada terus dibedil UAE.
Sementara itu, Khairul Fahmi
turut berkata, Dollah tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas kekalahan
terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia tersebut kerana semuanya berpunca
daripada pemain yang beraksi di atas padang.
“Kami yang bersalah kerana kami
yang bermain bukan jurulatih, dia (Dollah) sudah memberikan segalanya,”
katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kami-layak-8216-dibelasah-8217-1.131970#sthash.ptkRnvhG.dpuf
No comments:
Post a Comment