Berikut komen ketua jurulatih
Malaysia, Dollah Salleh dan ketua pasukannya, Safiq Rahim serta ketua jurulatih
UAE, Mahdi Ali serta pemainnya, Ismail Al Hammadi pada sidang media
praperlawanan di Stadium Mohamed Bin Zayed, Abu Dhabi, hari ini.
Perlawanan Kumpulan A bagi Kelayakan Piala
Dunia 2018/Piala Asia 2019, UAE bertemu Malaysia akan berlangsung esok (Khamis)
di stadium berkenaan, jam 7.15 malam (11.15 malam waktu Malaysia).
Malaysia kini di tangga ke-168 dunia dalam
ranking FIFA manakala UAE di tangga ke-70.
KOMEN JURULATIH MALAYSIA,
DOLLAH SALLEH
"Kami menghadapi
Bangladesh untuk satu perlawanan persahabatan (Sabtu lalu) dan gagal meraih
kemenangan apabila sekadar seri 0-0. Jadi persiapan menghadapi UAE ini boleh
dianggap tidak begitu sempurna.
"Tapi berdasarkan persembahan pemain
ketika separuh masa kedua aksi bertemu Bangladesh itu, mereka beraksi dengan
baik. Cuma masalah utama kami, penyerang gagal menjaringkan gol.
"Untuk berdepan UAE, bukan tugas mudah
kerana mereka boleh dianggap salah satu pasukan terbaik di Asia. Namun misi
kami ke Abu Dhabi ini bukan untuk bertahan, tapi mahu memastikan
sekurang-kurang satu mata dapat dibawa pulang. Itu sudah memadai.
"Selepas kami tewas 6-0 kepada Palestin
pada perlawanan terdahulu, saya yakin pemain mahu memandang ke hadapan untuk
memberikan terbaik pada perlawanan menentang UAE esok. Insya-Allah."
KOMEN KAPTEN MALAYSIA, SAFIQ
RAHIM
"Sudah tentu UAE antara
pasukan terbaik di Asia. Tapi kami takkan beri laluan mudah buat mereka. Kami
akan memberikan persembahan terbaik, sepenuh komitmen dan fokus seratus peratus
bagi perlawanan esok.
"Sasaran kami ialah untuk mendapatkan
mata dan memastikan satu keputusan positif dapat dibawa balik dari Abu Dhabi.
"Jadi saya rasa kami mampu untuk berikan
sepenuh komitmen, tumpuan, disiplin dan mengikut arahan serta taktikal
jurulatih. Yang paling penting, disiplin dalam permainan."
KOMEN JURULATIH UAE, MAHDI ALI
"Ini perlawanan penting
bagi kami. Jadi kami cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan ini. Kami tahu,
faktor cuaca panas dan kelembapan tinggi ketika ini tetapi itu bukan alasan
utama.
"Liga di negara lain seperti Qatar dan
Arab Saudi pun sudah bermula pertengahan Ogos lalu. Memang faktor cuaca panas
ini akan memberi kesan kepada kedua-dua pasukan tetapi ia sudah dalam kalendar
FIFA, jadi kami perlu menanganinya.
"Mengenai perlawanan bertemu Malaysia
ini, saya tak anggap ia perlawanan mudah atau sukar kerana tiada yang mustahil
apabila kita dapat lihat, semua pasukan negara Asia sudah meningkat sejak tiga
atau empat tahun kebelakangan ini.
"Jadi kami perlu hormati Malaysia dan
memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi menghadapi perlawanan ini walaupun
mereka tewas 6-0 kepada Palestin pada aksi terdahulu. Itu bukan gambaran
sebenar mengenai apa yang bakal ditampilkan pasukan Malaysia esok.
"Kami perlu menjaringkan gol dan
mendapatkan keputusan positif daripada perlawanan ini."
KOMEN PEMAIN UAE, ISMAIL AHMED
"Kami melakukan persiapan
rapi untuk perlawanan ini kerana ia penting untuk meneruskan peluang kami dalam
kempen kelayakan ini dan impian layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.
"Jadi kami perlu berharap kepada
kemampuan pasukan kami, beraksi mengikut arahan jurulatih dan kami sememangnya
cukup teruja untuk turun beraksi perlawanan esok.
"Pemain akan cuba beri fokus seratus
peratus dan kami mengharapkan satu keputusan baik daripada perlawanan bertemu
Malaysia ini."
No comments:
Post a Comment