Ad

Monday 28 September 2015

Martial masa depan Manchester United


 
MARTIAL (kiri) menjadi mesin pencetak gol kepada United yang kini kembali berada di puncak liga.

LONDON – Kapten Manchester United, Wayne Rooney berharap rakan sepasukannya, Anthony Martial mampu mencipta lebih banyak magis menjelang perlawanan-perlawanan seterusnya untuk memastikan misi memburu kejuaraan Liga Perdana England musim ini tercapai.

Pemain antarabangsa Perancis berusia 19 tahun itu sehingga kini meledak empat gol menerusi lima perlawanan bersama United sejak menjejakkan kaki ke Old Trafford selepas meninggalkan AS Monaco melibatkan nilai perpindahan £36 juta (RM177.4 juta).

Sehubungan prestasi cemerlang dipamerkan pemain muda itu, Rooney percaya Martial tidak akan disisihkan daripada kesebelasan skuad utama kerana mampu mencipta aksi-aksi menarik dalam usaha memburu kemenangan untuk United.

"Dia (Martial) sangat menakjubkan, masih muda dan kami perlu ingat semua itu. Martial akan menjadi pemain terbaik untuk United pada musim ini dan juga masa depan.

"Kami akan membiarkan dia menikmati bola sepak dan sudah pasti dia akan mencipta lebih banyak magis untuk pasukan ini," ujar Rooney selepas aksi menewaskan Sunderland 3-0 di Old Trafford pada saingan Liga Perdana England malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, Rooney turut menjaringkan gol pertamanya untuk aksi Liga Perdana England musim ini, sekali gus menamatkan kemarau prestasi tanpa sebarang jaringan sejak saingan baharu membuka tirai Ogos lalu.

"Saya tidak bimbang walaupun tidak menjaringkan gol dalam saingan liga sebelum ini. Gol itu (malam kelmarin) juga sebenarnya ialah gol kelima saya bersama United untuk musim ini. Saya juga telah menjaringkan gol untuk England.

"Jadi, saya berharap semua orang memberi tumpuan kepada cara saya bermain bola sepak kerana ia membantu saya menikmati perlawanan," tambah Rooney.

Kemenangan ke atas Sunderland kelmarin menyaksikan United kini menduduki tangga teratas liga menerusi kelebihan satu mata berbanding Manchester City yang tewas 4-1 kepada Tottenham Hotspur.

– AGENSI

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3n1rLkMeh Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment