Ad

Friday, 4 September 2015

UAE 10-0 MALAYSIA



Skuad kebangsaan, Harimau Malaya tewas 10-0 kepada UAE pada perlawanan ketiga Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, malam tadi.

 UAE mendahului 4-0 pada 25 minit pertama permainan menerusi jaringan Mohanad Salem pada minit ke-16, Ali Mabkhout (m-22), Ahmed Khalil (m-23) dan Habib Al Fardan (m-25).

 Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh kemudian membawa keluar penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan memasukkan Zamir Selamat pada minit ke-29.

 Namun ia tetap tidak dapat menghalang UAE kendalian Mahdi Ali menambah tiga lagi gol menerusi jaringan kedua peribadi Khalil dan Mabkhout pada minit ke-29 dan ke-33 serta jaringan Mohamed Ahmed, minit ke-39.

 Kedudukan separuh masa pertama, UAE mendahului 7-0.

 Babak kedua bersambung, Malaysia cuba menguji benteng pertahanan UAE, namun percubaan Junior Eldstal pada minit ke-51 sedikit tersasar manakala rembatan Amri Yahyah tiga minit kemudian tepat ke arah penjaga gol UAE, Ali Khasif.

 Dollah kemudian terpaksa memasukkan penjaga gol ketiga, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-62 selepas Zamir mengalami kecederaan.

 Gawang Malaysia terus dibolosi apabila Khalil dan Mabkhout masing-masing melengkapkan hatrik menerusi jaringan minit ke-70 dan ke-75 untuk kedudukan 9-0.

 Khalil melengkapkan jaringan keempat peribadinya menerusi gol ke-10 UAE pada minit ke-78.

 Seterusnya, Malaysia akan menanti kunjungan Arab Saudi yang membelasah Timor Leste 7-0 di laman sendiri malam tadi, untuk perlawanan keempat di Stadium Shah Alam, Selasa ini.


KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH

"Saya tak tahu apa terjadi malam ini terutama bahagian pertahanan. Kami beri gol-gol mudah. Tiga atau empat gol boleh dianggap gol mudah dan semuanya membawa kepada kemusnahan kepada pasukan kami.

 "UAE juga mempamerkan persembahan cukup baik terutama Omar Abdulrahman (pemain No 10), seorang pemain cukup hebat dan dia ternyata 'membunuh' setiap pemain kami.

 "Saya tak jangka boleh kena sampai 10 gol. Memang saya tahu bukan mudah nak menang di sini dan sebab itulah saya letak sasaran mahu seri. Tapi dengan cara UAE bermain dan pemain kami pula saya tak tahu apa jadi kepada mereka, segalanya musnah.

 "Seperti yang saya katakan, persiapan kami hanya tiga ke empat hari. Bukan mudah nak main macam UAE yang saya katakan mereka pasukan terbaik di Asia. Pemain kami pula keletihan mengharungi jadual padat liga dan sebab itu mereka tak dapat menyaingi tempo permainan UAE.

 "(Ditanya adakah dirinya akan meletak jawatan) Saya tak tahu tetapi mungkin juga. Apa pun tunggu dan lihat dalam tempoh dua atau tiga hari ini."

UAE: 1-Ali Khasif (K); 18-Mohammed Fawzi (19-Ismail Ahmed 32'), 6-Mohanad Salem, 23-Mohamed Ahmed, 3-Walid Abbas; 10-Omar Abdulrahman, 4-Habib Fardan (15-Ismail Al Hammadi 64'), 5-Amer Abdulrahman, 8-Majed Hassan; 7-Ali Mabkhout, 11-Ahmed Khalil (2-Mohamed Al Akbari 79').

MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat (1-Zamir Selamat 29') (23-Khairul Azhan Khalid 62'); 16-S Kunanlan, 2-Afif Amiruddin, 15-Junior Eldstal, 6-Amirizdwan Taj Tajuddin (13-Razman Roslan 37'), 21-Zubir Azmi; 19-Wan Zack Haikal Wan Nor, 8-Safiq Rahim (K), 13-Nasir Basharudin, 12-Ahmad Hazwan Bakri; 17-Amri Yahyah.
 
Pengadil: Abdulrahman Ibrahim Al Jassim (Qatar)

Sumber-http://www.fam.org.my/

No comments:

Post a Comment