27 September 2015 1:06 AM
PENYERANG Liverpool, Daniel
Sturridge (tengah) menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menentang Aston
Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield, Liverpool
semalam. Liverpool menang 3-2. – AFP
LONDON – Manchester United
mengambil kesempatan daripada kekalahan 4-1 Manchester City kepada Tottenham
Hotspur untuk merampas kedudukan teratas carta Liga Perdana Inggeris setelah
menewaskan Sunderland 3-0 semalam.
Keputusan tidak dijangka yang
diterima City membuka ruang kepada skuad Louis van Gaal dan mereka tidak
mensia-siakannya menerusi jaringan Memphis Depay, Wayne Rooney dan Juan Mata.
Depay memecahkan kebuntuan pada
penghujung babak pertama setelah menampan masuk hantaran lintang Mata ke depan
gawang, sebelum Rooney dan Mata mengesahkan kemenangan United selepas rehat.
Jaringan Rooney, yang dibantu
oleh Anthony Martial, adalah yang pertama untuknya dalam liga sejak April dan
menyaksikan dia menyamai rekod jaringan liga Denis Law dengan 171 gol.
Kemenangan itu meletakkan
United satu mata di depan City, yang merosot ke anak tangga kedua selepas kalah
kali kedua berturut-turut musim ini apabila dibelasah di White Hart Lane dalam
perlawanan lebih awal.
City mendahului pada minit
ke-25 menerusi Kevin De Bruyne, tetapi Eric Dier menyamakan kedudukan pada
penghujung separuh masa pertama sebelum tandukan Toby Alderweireld meletakkan
tuan rumah di depan.
Harry Kane kemudian
menjaringkan gol pertamanya musim ini dan Erik Lamela menambah gol keempat
untuk membantu Spurs melonjak ke tempat kelima liga.
Arsenal melonjak ke anak tangga
keempat selepas membelasah Leicester City 5-2 di Stadium King Power.
Jamie Vardy meletakkan
Leicester di depan pada minit ke-13 tetapi Theo Walcott menyamakan kedudukan lima
minit kemudian sebelum Alexis Sanchez mencipta hattrick.
Vardy merapatkan kedudukan pada
babak kedua tetapi Olivier Giroud menjaringkan gol kelima Arsenal dalam masa
tambahan.
Sementara itu, Daniel Sturridge
menjaringkan dua gol untuk membantu Liverpool mengalahkan Aston Villa 3-2 di
Anfield, sekali gus menamatkan empat perlawanan mereka tanpa menang dan naik ke
tempat ketujuh. – Agensi
James Milner menjaringkan gol
pertama Liverpool pada minit kedua sebelum Sturridge membuktikan dia telah
kembali cergas apabila menyambar hantaran voli Milner pada minit ke-59.
Rudy Gestede merapatkan
kedudukan tetapi Sturridge menambah gol keduanya pada minit ke-67 sebelum
Gestede kembali membantu Villa bersaing apabila menjaringkan gol keduanya. –
REUTERS
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/man-united-pintas-man-city-1.140267#sthash.LtE73X8t.dpuf
No comments:
Post a Comment