Ad

Tuesday, 8 September 2015

Jangan gentar!

Petaling Jaya: Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menggesa rakan sepasukan supaya melupakan sejarah hitam di Abu Dhabi dan mengumpul segala kekuatan kembali untuk berdepan Arab Saudi pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam ini.
Menurut pemain tengah itu, sebagai pemain mereka tiada pilihan selain perlu menempuh cabaran itu atas tanggungjawab yang diamanahkan oleh negara.
“Sekarang sebagai pemain kita kena hadapi benda ini, kena teruskan perjuangan selepas apa yang berlaku. Motivasi sekarang tidak boleh pandang ke belakang sebaliknya, kita kena pandang ke depan. Baki perlawanan (kelayakan) akan datang kita cuba mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Safiq antara pemain skuad Harimau Malaya yang dikritik hebat oleh peminat tempatan susulan kekalahan terbesar dalam sejarah 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi minggu lalu.
Kekalahan itu bukan saja memberi impak kepada moral pemain malah jurulatih kebangsaan Dollah Salleh membuat keputusan meletakkan jawatan atas rasa tanggungjawab di atas keputusan buruk itu.
Safiq yang beraksi dengan Johor Darul Ta’zim menjaringkan gol ketika Malaysia tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada pertemuan terakhir dalam aksi persahabatan di Shah Alam dua tahun lalu.
“Kami akan bermain di laman sendiri jadi itu juga boleh menjadi motivasi. Saya percaya Arab Saudi juga memiliki jurulatih baru, pemain baru dan sama dengan pasukan kami.”
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:45 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/76034#sthash.3eAXDTqB.dpuf

No comments:

Post a Comment