Ad

Tuesday 29 September 2015

Safee kembali sarung jersi Harimau Malaya

Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my 
Kuala Lumpur: Penyerang berpengalaman Mohd Safee Sali kembali mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee percaya pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu mampu membantu bahagian serangan bagi dua aksi antarabangsa bulan depan.

Safee, 33, antara 23 pemain yang dipanggil bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Ahad ini bagi persiapan aksi persahabatan antarabangsa bertemu Laos di Stadium Thai Army, Bangkok, Thailand pada 8 Oktober dan perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Stadium Perbandaran Dili, Dili pada 13 Oktober.
Daripada senarai pemain ketika Kim Swee mengambil alih pasukan bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lalu selepas Dollah Salleh meletak jawatan, seramai 15 pemain dikekalkan.
Baki lapan lagi pemain membabitkan pemain pertahanan kiri Terengganu, Zubir Azmi yang dipanggil semula selepas diketepikan ketika aksi bertemu Arab Saudi akibat kecederaan serta penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Aidil Zafuan Abd Radzak, Safee (Johor DT), Shahrul Saad, Christie Jayaseelan (FELDA United), Hafiz Kamal (Pahang) dan Ismail Faruqi Ashari (Terengganu).
Kim Swee bagaimanapun terpaksa mengetepikan dua pemain dalam senarai sebelum ini, Razman Roslan (Pahang) dan Junior Eldstal (Johor DT) yang sedang mengalami kecederaan ketika ini.
“Memang agak sukar untuk memilih 23 pemain kali ini tapi saya percaya pemain baru dipanggil daripada mereka yang sebelum ini pernah bersama skuad kebangsaan dan skuad B-23 negara akan menguatkan lagi pasukan terutama di posisi tertentu.
“Bagi saya, inilah pemain terbaik untuk kita berdepan Timor Leste,” katanya.
Semua pemain terpilih diminta melapor diri Ahad ini kecuali pemain Johor DT dan Perak pada Isnin sebelum mereka berlepas ke Bangkok pada Selasa untuk menghadapi Laos pada 8 Oktober.
Kim Swee yang membimbing skuad senior dalam aksi tertangguh akibat kekecohan Ultras Malaya ketika ketinggalan 1-2 kepada Arab Saudi mahu anak buahnya tidak memandang mudah pertemuan dengan Laos.
“Keputusan perlawanan dengan Laos perlu diambil serius kerana itu aksi persahabatan A yang membabitkan ranking. Tapi apa yang lebih penting saya mahu melihat keserasian serta kefahaman pemain mengenai taktikal yang akan cuba diterapkan.”
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:33 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/80837#sthash.jd09AV0F.dpuf

No comments:

Post a Comment