Ad

Friday 11 September 2015

Pahang intai kemenangan pertama

Oleh IKHWAN IDERIS
ZAINAL akan pastikan Pahang meraih kemenangan pada aksi pembuka tirai kempen Piala Malaysia menentang PDRM di Kuantan malam esok.

PAHANG berhasrat untuk memulakan kempen Piala Malaysia 2015 dengan kemenangan apabila turun membuat perhitungan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.

Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, meskipun anak-anak buahnya tidak mendapat rehat yang secukupnya seperti pasukan-pasukan lain kerana membawa cabaran negara pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), ia tidak menjejaskan persiapan mereka bagi mengharungi cabaran dalam Piala Malaysia.

“Para pemain telah memulakan latihan sejak 1 September lalu dan kami mempunyai masa yang mencukupi untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Selain itu, pemain kami yang beraksi untuk pasukan kebangsaan seperti kapten pasukan, Razman Roslan, Mohd. Azamuddin Akil dan Matthew Davies akan kembali berlatih bersama pasukan esok (hari ini).

“Bagi saya, mereka bertiga telah menunjukkan permainan mengagumkan ketika menentang Arab Saudi, Selasa lalu dan saya difahamkan, mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, kita tetap memantau tahap kecergasan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pahang selaku juara bertahan, dilihat berdepan laluan mudah pada kempen Piala Malaysia kali ini setelah diundi dalam Kumpulan D yang turut dibarisi Pulau Pinang, PDRM dan PKNS FC.

Zainal bagaimanapun melihat bahawa pasukan PDRM mampu memberikan cabaran sengit kepada Pahang meskipun lawan mereka itu tewas dalam kedua-dua perlawanan menentang Pahang dalam saingan Liga Super musim ini.

“PDRM sentiasa memberikan saingan yang cukup hebat, apatah lagi Piala Malaysia merupakan kejohanan terakhir dalam saingan Liga Malaysia, jadi semua pasukan akan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk mengakhiri musim mereka dengan kejayaan cemerlang.

“Tiga mata pertama dalam perlawanan Sabtu ini sangat penting kerana ia pastinya memberikan semangat baharu kepada kami,” jelas Zainal.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0911&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3lQkHMWNd Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment