‘Ini bukan pasukan sekolah’Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD.
HANAFIAH
WAN JAMAK berpendapat skuad
senior negara perlu dirombak secara menyeluruh.
“INI bukan pasukan bola sepak
sekolah, ini skuad negara.” Demikian tegas bekas pengendali pasukan bola sepak
kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan ekoran kekalahan terburuk pernah direkodkan
Harimau Malaya dalam sejarah bola sepak negara.
Kelmarin, skuad Harimau Malaya
dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu pada aksi kelayakan peringkat
Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium
Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, kelmarin.
Jelasnya, zaman dulu, semangat
pemain negara cukup tinggi dan jika tidak terpilih, pemain akan menangis dalam
bilik persalinan.
“Apa lagi yang saya boleh
katakan. Inilah realiti bola sepak negara dan kekalahan 10-0 adalah sesuatu
yang paling teruk terjadi dalam sejarah bola sepak Malaysia. Inikah hasil
daripada program pembangunan yang dirancang selama ini?
“Saya tidak tahu dari mana
datangnya punca kekalahan ini. Adakah UAE terlalu kuat atau pemain-pemain kita
yang bermasalah? Bila dilihat dalam perlawanan Liga Malaysia, pemain-pemain
kita sangat hebat tetapi bila dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan,
satu gerakan menarik pun tak nampak,” kata Wan Jamak ketika dihubungi Kosmo!
semalam.
Tambahnya, satu perjumpaan
tergempar perlu dilakukan bagi memperbetulkan keadaan pasukan negara yang
dilihat sangat ketinggalan jauh berbanding pasukan-pasukan lain di rantau ini.
“Satu bedah siasat perlu
dilakukan dengan segera bagi menyiasat punca kekalahan tersebut. Jurulatih
jangan cepat melenting apabila ditegur, malah kita hanya beri pandangan. 10-0
bukan hal kecil tetapi melibat maruah Malaysia.
“Beri peluang kepada
pemain-pemain muda untuk beraksi. Rombak skuad sedia ada. Bagi saya, skuad
senior dilihat tidak berupaya dan buat apa nak simpan pemain seperti ini. Saya
lihat ramai lagi pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan kendalian Datuk
Ong Kim Swee dan jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara yang dibimbing
Razip Ismail yang berpotensi dan harus diberi peluang,” tambahnya lagi.
Menurutnya, ketika ini moral
pasukan negara terjejas teruk dan Malaysia dijadualkan menentang Arab Saudi
pada aksi keempat peringkat Kumpulan A di Stadium Shah Alam pada 8 September
ini.
“Moral pemain sangat tertekan
dan pihak FAM ingin mengambil jurulatih dari luar dan saya fikir mereka pun
takut untuk mengambil tanggungjawab ini,” katanya.
Pada perlawanan di Abu Dhabi
kelmarin, UAE nyata mendominasi perlawanan pada babak pertama dengan
menghasilkan tujuh gol melalui Mohanad Salem sebelum Ali Makhbout menggandakan
kedudukan, selang enam minit kemudian tangkapan kurang kemas penjaga gol
negara, Khairul Fahmi Che Mat terus menghukum pasukan negara untuk UAE menambah
dua lagi gol menerusi Ahmed Khalil (minit ke-23) dan dua minit kemudian oleh
Habib Al-Fardan.
Kemasukan penjaga gol Perak,
Zamir Selamat selepas itu turut gagal membendung pintu gol negara daripada
terus dibolosi menerusi sentuhan penyudah Ahmed Khalil pada minit ke-29, Ali
Makhbout (m-33) dan Mohamed Gharib (m-39).
Bersambung babak kedua perlawanan,
skuad kendalian Dollah masih gagal untuk menembusi kekebalan benteng pertahanan
UAE yang diketuai Mohanad Salem sebelum Ahmed Khalil mencipta hatrik selepas
menjaringkan gol ketiga pada minit ke-70 untuk menewaskan penjaga gol gantian
kedua Malaysia, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.
Ali Makhbout turut mencipta
hatrik pada minit ke-75 menerusi percubaan menarik dari luar kotak penalti
sebelum Ahmed Khalil mengesahkan kemenangan besar UAE menerusi gol ke-10,
selang dua minit kemudian dan keputusan berkenaan kekal sehingga tamat
perlawanan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3kog1RytQ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment