Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD.
HANAFIAH
NAZMI (kiri) akan kembali
memperkuatkan jentera tengah Selangor dalam saingan Piala Malaysia menentang
Felda United hujung minggu ini setelah tamat penggantungan.
KEHADIRAN tiga tonggak utama
Selangor bakal memperkuatkan lagi barisan skuad The Red Giants bagi memburu
tiga mata penuh apabila menentang Felda United pada perlawanan ketiga saingan
Kumpulan C kempen Piala Malaysia di gelanggang keramat mereka di Stadium Shah
Alam, Sabtu ini.
Pengendali Selangor, Mehmet
Durakovic akhirnya boleh menarik nafas lega selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor
yang baru tamat tempoh penggantungan akan beraksi semula termasuk Ahmad Hazwan
Bakri dan K. Gurusamy yang direhatkan kerana mengalami kecederaan.
Kehadiran ketiga-tiga pemain
tersebut bakal membantu Selangor untuk mengekang ancaman The Fighters, sekali
gus memburu tiga mata penting di hadapan penyokong sendiri.
“Ketiadaan mereka sebelum ini
sangat memberi tekanan kepada pasukan. Apabila kembali semula tiga pemain
tersebut, pasti corak permainan akan berubah dan turut memberi lembaran baharu
kepada rakan-rakan sepasukan untuk kembali bangkit.
“Saya yakin Nazmi, Gurusamy dan
Hazwan mampu mempamerkan prestasi yang terbaik bersama pasukan tapi saya juga
masih menaruh kepercayaan kepada Afiq dan Guilherme. Malah, saya juga mempunyai
Andik yang boleh membantu jentera serangan.
“Bagi saya, berdepan Felda
United bukan lawan yang mudah kerana mereka memiliki barisan pemain yang bagus dan
saya sentiasa mengingatkan pemain-pemain agar sentiasa memberi yang terbaik
agar dapat meraih keputusan yang baik,” katanya.
Bagaimanapun, Durakovic tetap
berwaspada dengan ancaman skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang memiliki
pemain-pemain yang berpengalaman dan mampu membuat kejutan.
Pada aksi pertama, Selangor
diaibkan Kelantan 0-3 di laman sendiri dan The Red Giants kembali bangkit
dengan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas T-Team di gelanggang lawan.
Tambah pengendali berusia 50
tahun dari Australia itu, kemenangan sangat diperlukan untuk mencerahkan laluan
ke peringkat suku akhir dan merealisasikan misi 33 yang masih belum dapat
dicapai. Kali terakhir Selangor memenangi Piala Malaysia adalah pada tahun
2005.
“Cabaran yang saya pikul amat
besar, lagipun Selangor merupakan sebuah pasukan yang mempunyai sejarah
gemilang suatu ketika dahulu dan saya harap tahun ini misi 33 dapat dicapai.
Namun, saya memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk merealisasikannya
termasuk penyokong,” jelasnya.
Menurut rekod, Selangor dan The
Fighters sudah bertemu sebanyak tiga kali dengan satu kemenangan memihak kepada
The Red Giants dan dua lagi berakhir dengan keputusan seri.
Tiga mata yang dikumpulkan
meletakkan Selangor kini menduduki tangga ketiga Kumpulan C dengan Kelantan dan
Felda United masing-masing berkongsi empat mata di tangga teratas.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0922&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3mTy7nOKZ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment