Ad

Thursday, 12 January 2017

AFC terlepas pandang gol ajaib Faiz?

Pencapaian pemain itu gagal mendapat pengiktirafan Anugerah AFC
ABDUL HAFIZ AHMAD  |  12 Januari 2017 12:15 AM
MOHD. FAIZ SUBRI beramah mesra dengan peminat sebaik sahaja tiba
MOHD. FAIZ SUBRI beramah mesra dengan peminat sebaik sahaja tiba dari Zurich, Switzerland di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Anugerah Bola Sepak Ke­bangsaan sudah pun mengiktiraf gol ajaib Mohd. Faiz Subri pada 23 Disember lalu, sebelum pemain tengah Pulau Pinang itu mencipta sejarah memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Isnin lepas namun, bagaimana pula dengan Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC)?
Bagaimana badan induk bola sepak Asia itu boleh terlepas pandang untuk mengiktiraf pencapaian anak jati Ayer Hitam, Kedah itu dalam Anugerah Tahunan AFC 2016 di Abu Dhabi yang diadakan 1 Disember lalu?

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul yang berada di Zurich, Switzerland ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini, berkata: “Biarlah dahulu, dia pun tengah hangat dengan kejayaannya. Mungkin kita boleh bincang (memberikannya satu anugerah khas AFC).”
Mohd. Faiz, 30, mencatat rekod sebagai pemain pertama Asia memenangi anugerah berprestij yang diperkenalkan pada 2009 itu bagi mengiktiraf jaringan tercantik yang dicipta oleh mana-mana pemain lelaki atau wanita tanpa membezakan prestij kejohanan, jantina atau kewarganegaraan.
Jaringannya yang dicipta pada 16 Februari tahun lalu setelah menewaskan penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin itu peroleh undian tertinggi 59.46 peratus, sekali gus mengatasi dua pencabar, Johnath Marlone Azevedo dari Brazil (22.86 peratus) dan pemain Venezuela, Daniuska Rodriguez (10.01 peratus).
“AFC berbangga dengan kejayaan Faiz yang bakal menjadi pendorong dan semangat serta meyakinkan pemain Asia lain. Tahniah Faiz. Saya sudah menjangka dia menang dengan gol yang dianggap menentang hukum fizik itu, berbanding dua pencabarnya.
“Saya juga berharap Faiz tidak cepat berpuas hati dengan menang Puskas sahaja. Kita mahukan dia menjaringkan gol yang lebih cantik daripada itu. Perlu juga diingat bola sepak ialah permainan berpasukan dan dia hanya seorang daripada 11 pemain di padang.
“Jangan selepas ini pula Pulau Pinang hanya berharapkan dia untuk menjaringkan gol. Walau apa pun tahniah juga kepada pasukan negeri kerana memiliki seorang pemain yang berjaya di peringkat dunia dengan menjulang trofi Puskas,” kata Windsor.
Beliau juga menolak untuk membandingkan gol Mohd. Faiz itu dengan jaringan sepakan bebas legenda Brazil, Roberto Carlos yang dilakukan pemain tersebut pada kejohanan Tournoi de France 1997.
Sementara itu, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang turut menghadiri majlis Anugerah FIFA itu turut mengucapkan tahniah kepada Mohd. Faiz atas pencapaian tersebut yang membuktikan Asia juga boleh berdiri megah di antara yang terbaik di dunia.

No comments:

Post a Comment