ANNUAR (kanan) bersama Rosmadi
(duduk kiri) dan Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md. Noor (duduk tengah)
bercakap kepada pemberita ketika mengumumkan penajaan kepada skuad Kelantan di
Kota Bharu semalam.
EPISOD duka yang dialami
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berakhir semalam.
Persatuan tersebut mendapat
‘talian hayat’, sekali gus membolehkan mereka terus kekal bersaing pada kempen
Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sebelum ini, KAFA berdepan
masalah kewangan yang sangat kritikal sehingga membuat keputusan untuk menarik
diri selepas gagal mendapat sebarang tajaan untuk menguruskan pasukan
mengharungi kempen Liga M musim ini.
Semalam, mereka kembali
bernyawa apabila syarikat telekomunikasi, RedONE dan syarikat Al Hamra Group
sudi memberi pendahuluan berjumlah RM3 juta kepada KAFA bagi membolehkan mereka
bernafas sekali gus kekal bersaing pada Liga M.
Bekas Presiden KAFA, Tan Sri
Annuar Musa yang juga Pengerusi RedONE dan Al Hamra Group, bersetuju membantu
KAFA selepas ahli jawatankuasa tertinggi badan induk itu mengadakan pertemuan
dengannya malam kelmarin untuk berbincang mengenai keputusan penarikan diri
daripada kempen Liga M.
“Kami telah mengadakan
perbincangan secara terperinci daripada sudut aliran tunai KAFA, dan dana
RM800,000 yang diperoleh sebelum ini telah digunakan untuk membayar gaji para
pemain untuk bulan November. Jadi, KAFA hanya ada RM50,000 untuk meneruskan
perjuangan pada kempen Liga M musim ini. Jumlah tersebut sudah pastinya tidak
mencukupi sehingga memaksa KAFA berhasrat menarik diri.
“Menyedari masalah tersebut,
RedONE dan Al Hamra bersetuju memberi pendahuluan berjumlah RM3 juta kepada
KAFA secara kecemasan. Dengan pengumuman ini saya harap polemik dan tuduhan
kepada saya dan KAFA, kononnya bermain drama dan wayang berakhir,” kata Annuar
pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.
Musim lalu, Kelantan yang
ditaja syarikat kosmetik Vida Beauty Sdn. Bhd., milik Datuk Seri Hasmiza Othman
atau Dr. Vida, menamatkan kempen Liga Super di tempat keempat dengan mengumpul
29 mata manakala pada saingan Piala Malaysia, mereka tersingkir pada peringkat
suku akhir.
Musim 2012 merupakan tahun
paling cemerlang buat pasukan Kelantan apabila meraih tiga gelaran selepas
menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4V2tCehfL
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment