Ad

Sunday, 29 January 2017

Bola Shebby: Laluan getir

 
HARIMAU Malaysia harus menang dengan Hong Kong.
Serbegeth Singh
Selepas menganalisa pasukan bakal menjadi pesaing dalam Kelayakan Piala Asia 2019 kita berharap dapat mengelak dua pasukan. Malangnya, kedua-dua pasukan ini, Korea Utara serta Lubnan diundi bersama dalam Kumpulan B. Turut serta adalah Hong Kong.

Kekuatan Korea Utara jelas apabila mereka menduduki tempat kedua Kumpulan H bagi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018. Seperti mana kita sedia tahu, Kelayakan Piala Dunia 2018 juga digunakan sebagai kelayakan utama Piala Asia 2019. Korea Utara berjaya menewaskan Uzbekistan di tempat sendiri walaupun pasukan itu menjuarai Kumpulan H.

Tapi apa yang menarik perhatian kita adalah keputusan menentang Filipina yang turut sama dalam Kumpulan H. Filipina berjaya mengumpul empat mata melalui keputusan seri di Pyongyang dan kemenangan di laman sendiri. Keputusan seri 0-0 dan menang 3-2 di tempat sendiri harus kita jadikan contoh sebelum membuka tirai Kelayakan Piala Asia 2019.


Selepas kempen Piala AFF 2016, didapati tahap Filipina dan Malaysia tidak banyak jauh, jadi kita boleh mengambil keyakinan untuk mencari sesuatu positif menjelang 28 Mac. Korea Utara mencorakkan permainan pantas serta agresif tapi agak tumpul di depan pintu gol.

Lubnan pula mempunyai semangat juang tinggi dengan pernah membelasah Laos 7-0 dalam Kumpulan G pada masa Kelayakan Piala Dunia 2018. Pasukan ini diletakkan sebagai pilihan utama Kumpulan B ini.

Hong Kong melengkapkan Kumpulan B dan di sini kita harus mencapai dua kemenangan. Di tempat sendiri mahupun lawan, Malaysia harus letak petanda bola sepak kita lebih maju daripada Hong Kong.

Susunan perlawanan pula memberi kita kelebihan kerana urutan aksi adalah bertemu Korea Utara di luar diikuti dua pertemuan di tempat sendiri menentang Lubnan serta Hong Kong. Perlawanan berikutnya membawa kita berkunjung ke Hong Kong sebelum mengakhiri tahun ini dengan pertemuan menentang Korea Utara di tempat kita pada November.

Kita akan tamatkan perjuangan di Lubnan pada Mac 2018. Harap perjuangan Kelayakan Piala Asia 2019 akan menyaksikan kita bertanding sehingga perlawanan terakhir Kumpulan B. Kita sedar tahap bola sepak Malaysia di lapangan antarabangsa rendah tapi untuk masih bernafas sehingga ke perlawanan terakhir Kumpulan boleh diambil kira sebagai satu kemajuan.

Walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM akan mempunyai pucuk kepimpinan baru sebelum Kelayakan Piala Asia 2019 bermula Mac nanti tapi kita harus sedar nasib sukan itu tidak akan berubah dengan sekelip mata. Kepimpinan baru akan memberi harapan serta perubahan tapi bola sepak selalunya memerlukan masa.

Kelayakan Piala Asia 2019 harus dijadikan tumpuan utama kepimpinan baru dan kegagalan melayakkan diri terpaksa di pikul sebagai kegagalan utama. Kepimpinan baru tidak boleh beraksi mengikut peraturan lama. Kepimpinan baru harus beraksi dengan sukatan serta harapan yang lebih tinggi.

Kita sedia maklum pemilihan kepimpinan baru akan di sahkan hanya tiga hari sebelum kita membuka tirai pada 28 Mac menentang Korea Utara tapi mula dari sekarang, sekurang-kurangnya mereka yang menjadi calon boleh membentangkan pelan untuk melonjakkan bola sepak negara.

Kalau boleh biar pelan mereka itu dibincang dan dibahas dalam kalangan ramai supaya kita dapat memahami dengan lebih mendalam perubahan serta pengubahan yang bakal diambil kembalikan maruah bola sepak Malaysia.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:11 AM








No comments:

Post a Comment