Ad

Tuesday, 24 January 2017

‘Semua tidak layak’

Presiden FAM patut bukan ahli politik, kerabat diraja – Velappan
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  25 Januari 2017 12:25 AM
 
KUALA LUMPUR 24 Jan. - Tokoh bola sepak negara Datuk Peter Velappan menyifatkan tiada seorang pun daripada individu yang mendapat pencalonan bagi merebut kerusi No. 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) layak untuk bertanding.
Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu berkata, FAM sepatutnya ditadbir golongan yang bukan terdiri daripada ahli politik dan kerabat diraja, selain turut mempersoalkan apakah tujuan mereka untuk memimpin badan induk tersebut.
“Jika dikaji kedudukan bola sepak negara sudah bertukar secara keseluruhan yang mana kita tidak mahu ahli politik dan kerabat diraja sebaliknya kita mahun golongan profesional dalam sukan tersebut.

“Sewaktu zaman saya Tunku Abdul Rahman dikecualikan kerana beliau seorang peminat bola sepak tegar dan sedia menggalas tanggungjawab secara beramai-ramai. Tidak seperti sekarang.
“Saya mahu tanya, apa tujuan mereka mahu menjadi presiden? Pada pandangan saya, tiada seorang pun dalam kalangan mereka patut dipilih sebagai presiden. Bagi saya, presiden sewajarnya dipilih dalam kalangan rakyat biasa.
“Ini kerana saya lihat sejak 15 tahun kebelakangan ini semua ahli politik terlibat dalam persatuan bukan bola sepak. Itu membunuh pembangunan sukan. Bagi kepada orang yang sepatutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam FAM menerima empat pencalonan bagi jawatan presiden diketuai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa serta Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat.
Utusan Malaysia difahamkan, Khairy mengetuai senarai dengan menerima 12 pencalonan, diikuti Tunku Ismail, lima.
Semua calon diminta mengesahkan pendirian mereka sama ada mahu bertanding atau tidak sebelum 13 Februari.
Velappan, 81, yang pernah menyandang jawatan Penolong Setiausaha FAM dan menjadi pengurus skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich bagaimanapun tidak menyatakan siapakah calon yang difikirkan layak mengisi kerusi panas itu.

Sumber-- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-semua-tidak-layak-8217-1.436030#sthash.xGxQvUxg.dpuf

No comments:

Post a Comment